Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Tidak banyak negara, apatah lagi seorang Menteri Kewangan, yang sanggup melepaskan kuasa sehingga boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya culas mengurus perolehan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 di Dewan Rakyat hari ini membuktikan kesungguhan kerajaan membendung ketirisan dalam proses perolehan awam.

Menurut beliau, usaha itu menunjukkan komitmen serius kerajaan untuk memastikan setiap perolehan dilakukan secara lebih telus dan berintegriti.

“Daripada kerajaan, ini satu (tindakan) yang agak berani. Tak banyak kerajaan sanggup melepaskan tanggungjawab daripada proses rundingan terus ini untuk digantikan dengan proses tender,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan mencadangkan penggubalan Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 bagi  menangani ketirisan dan mengoptimum sumber negara supaya terus berupaya memacu pembaharuan ekonomi dan kualiti hidup rakyat.

Penggubalan RUU Perolehan Kerajaan 2025 mengandungi 12 Bahagian dan 93 Fasal dengan hasrat untuk mencapai beberapa pendekatan dan matlamat yang jelas dan tegas.

Anwar menjelaskan, langkah itu sekali gus menutup ruang manipulasi atau salah guna kuasa dalam meluluskan projek perolehan.

Beliau menegaskan, kerajaan mahu memastikan hanya kaedah yang telus melalui proses tender dibenarkan.

“Masalahnya memang tidak membolehkan sama sekali meluluskan projek tanpa kaedah yang telus melalui proses tender,” tambahnya.

RUU ini turut memperuntukkan tindakan undang-undang dan hukuman punitif terhadap mana-mana pihak yang melakukan pelanggaran dalam proses perolehan kerajaan.

Antara kesalahan yang diperincikan termasuklah memindahkan kontrak perolehan tanpa kebenaran yang boleh dikenakan denda tidak kurang tiga kali ganda nilai kontrak atau RM1 juta, mana yang lebih tinggi, atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan gagal menzahirkan kepentingan dalam proses perolehan pula, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM250,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Manakala bagi campur tangan yang mengganggu proses perolehan kerajaan, hukuman yang diperuntukkan adalah denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Selain itu, penjawat awam termasuk yang telah bersara juga tidak terkecuali daripada tindakan, malah mereka diwajibkan melaporkan sebarang pelanggaran atau potensi pelanggaran kepada agensi penguat kuasa seperti SPRM, PDRM dan MyCC. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast