Keadaan rumah di Lorong Manggis, Batu 36, Jalan Pontian yang musnah dalam kebakaran. gambar bawah kiri : Nasri gambar bawa kanan : Masabuding

PONTIAN – Majikan kepada dua tukang masak warga Thailand yang maut dalam kebakaran di rumah sewa pekerjanya pagi tadi terkejut dengan kejadian tersebut.

Pemilik Restoran Kemangi, Nora Hazlina Mohd Hanafiah, 46, merancang untuk menyewa rumah baharu untuk tujuh pekerjanya berhampiran restoran berkenaan.

“Saya memang bercadang menyewa rumah sewa baharu untuk mereka di Batu 36, namun tidak menduga berlaku kejadian buruk berlaku hari ini.

“Pekerja saya yang maut, Nasri E-Sa, 31, telah berkahwin dan mempunyai tiga anak manakala Masabuding Sa-Laeh, 27, masih bujang,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa meninjau lokasi kejadian di Lorong Manggis, Batu 36, Jalan Johor Bahru-Pontian di sini.

Nora berkata, pekerjanya yang lain cedera iaitu Tahekee Kanali, 38, Maesan Keetong, 40, dan Sukri Muso, 30, dan Koree Basa, 48.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohammad Shofee Tayib berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 11 pagi melibat sebuah rumah teres yang diduduki tujuh lelaki warga negara Thailand.

Kedua-dua mangsa katanya, meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga lagi mangsa berusia 39 hingga 48 tahun cedera ringan dan satu lagi mangsa, 30, cedera parah.

Mohammad Shofee berkata, anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru dan BBP Pekan Nanas dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkam kebakaran.

“Mangsa yang cedera ringan dan cedera parah telah dikejarkan ke Hospital Pontian bagi mendapatkan rawatan susulan,” ujarnya.

Katanya, pihaknya bersama-sama Jabatan Bomba dan Penyelamat Pontian sedang menjalankan siasatan mengenai kejadian tersebut.

Menurut beliau, kes ini diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat selesai.

Terdahulu portal ini melaporkan tujuh warga Thailand menjadi mangsa kebakaran di rumah tersebut dan dua daripadanya terkorban.

Pemeriksaan pihak bomba menemukan dua mangsa tersebut melecur 80 dan 95 peratus sudah meninggal dunia.

Seorang daripadanya ditemui di bahagian tingkap bilik manakala seorang lagi bawah runtuhan bumbung.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Dua maut, seorang parah dalam kebakaran

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast