KAJANG – Seramai 626 banduan di seluruh negara dilepaskan secara Lesen (Parole) sempena Program Kebebasan Sepenuh Kemerdekaan 2025 bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 Ahad ini.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Ahmad Faudzi Awang berkata, daripada jumlah itu, seramai 77 banduan lelaki dan wanita terpilih dari Kompleks Penjara Kajang.
Program tersebut merupakan sebahagian usaha memberi peluang kedua kepada prospek banduan yang layak kembali ke pangkuan masyarakat.
“Walaupun mereka pernah terpengaruh dengan kesalahan, tetapi kini diberi ruang untuk kembali ke masyarakat, namun harus diingat, peraturan dan syarat tetap perlu dipatuhi.
“Pembebasan ini bukan ‘lesen’ untuk mereka mengulangi kesalahan lampau sebaliknya mereka akan sentiasa dipantau pegawai penjara yang menguruskan transisi mereka untuk masuk semula ke dalam komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Program Kebebasan Sepenuh Kemerdekaan (PBSL) di Dewan Kelab Penjara Kajang, di sini, hari ini.
Ahmad Faudzi berkata, kesemua prospek terbabit dilepaskan secara Lesen untuk berada dalam komuniti, sama ada bersama keluarga, majikan atau rumah perantaraan kerajaan.
“Semua peserta terpilih sudah melepasi syarat ditetapkan, termasuk tempoh hukuman, disiplin, serta ujian psikologi.
“Usaha untuk membuktikan dan meyakinkan majikan ini bukan mudah, ada stigma masyarakat terhadap prospek bekas banduan.
“Melalui program ini, kita mengadakan libat urus dengan pihak majikan di seluruh negara dan saya difahamkan ramai pihak majikan tampil menyatakan hasrat untuk membantu,” ujarnya.
Menurutnya, sehingga Julai tahun ini, sebanyak 13,844 prospek dilepaskan secara Lesen, manakala secara keseluruhan termasuk program perolehan dan lain-lain berjumlah 23,000 orang.
Beliau berkata, program pelepasan itu bukan sahaja memberi peluang kedua kepada prospek, malah membantu kerajaan menjimatkan kos pengurusan penjara.
“Pada tahun 2024, kita berjaya menjimatkan RM29 juta melalui program pembebasan berstruktur. Tahun ini sahaja, sehingga Julai, penjimatan telah mencecah RM18.1 juta. Kita yakin penjimatan tahun ini mampu melepasi angka 2024,” tambahnya.
Setakat ini, sebanyak 764 syarikat berdaftar menawarkan lebih 7,000 peluang pekerjaan kepada prospek yang dilepaskan. Malah, ada antara mereka berjaya membuktikan kemampuan sehingga dilantik ke jawatan pengurusan.
“Contohnya, salah seorang bekas prospek yang bermula dari bawah kini dilantik sebagai pengurus cawangan di restoran McDonald’s. Ini satu kejayaan hasil kerjasama majikan,” katanya lagi.
Ahmad Faudzi mendedahkan kadar pengulangan jenayah dalam kalangan peserta program ini sangat rendah iaitu hanya 0.8 peratus.
Selain itu, kerjasama Jabatan Penjara dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia terus diperkukuh bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan, terutamanya dalam sektor pelancongan, asas tani, keterjaminan makanan serta perladangan.
Ini seiring dengan usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dengan menggantikan mereka melalui tenaga kerja dalam kalangan prospek. – MalaysiaGazette















