Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad.

JOHOR BAHRU – Gesaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) Johor agar UMNO menyatakan pendirian berkenaan kerjasama politik dalam pilihan raya akan datang bukan kerana gelabah, gelojoh atau terburu-buru.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Faezuddin Puad berkata, pendirian tersebut perlu supaya jelas hala tuju nanti dan dengan itu persediaan dapat dilakukan kedua-kedua pihak dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) atau pilihan raya negeri (PRN) Johor nanti.

“Niat KeadilanJohor murni. Dengan tetapkan sasaran awal, boleh runding dengan rakan-rakan dan selesai lebih awal sebagai persediaan mewujudkan suasana politik yang stabil.

“Apabila stabil, akhirnya rakyat juga yang akan dapat manfaat jangka panjang,” ujar Ketua PKR Cabang Pulai itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Semalam, Pemuda UMNO Johor menyelar sikap sikap gelabah, gelojoh serta terburu-buru PKR dan Amanah Johor dalam merebut dan menentukan kerusi pilihan raya pada pilihan raya nanti.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, sikap tersebut langsung tidak kena dengan mood rakyat yang kini sedang bergelut dengan beban kehidupan mereka.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain dilaporkan berkata, sudah tiba masanya UMNO Johor menyatakan pendirian jelas sama ada terus bersama-sama Pakatan Harapan (PH) atau memilih pertandingan tiga penjuru pada PRN akan datang.

Beliau berkata, Amanah Johor juga menyeru seluruh kepimpinan PH Johor bersedia dengan segala kemungkinan yang boleh berlaku.

Sebelum itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya berhasrat menawan tiga kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor pada pilihan raya akan datang.

Mengulas lanjut, Faezuddin berkata, persediaan dan susunan awal seperti itu adalah perkara yang biasa bagi mana-mana parti politik, termasuk UMNO sendiri.

“Bohonglah kalau UMNO tidak merancang awal strategi bagaimana untuk menang dalam pilihan raya dan kerusi mana yang mereka ingin ditandingi dalam pilihan raya akan datang.

“Sememangnya salah satu agenda utama sesebuah parti politik adalah untuk menang pilihan raya, kemudian tubuh kerajaan yang stabil dan seterusnya bekerja menyelesai masalah rakyat melalui dasar dan program yang berkesan. Jadi, kita janganlah hipokrit.

“Tidak tepat mengatakan merancang sasaran kerusi awal untuk kita tandingi dalam pilihan raya sebagai gelojoh, apatah lagi kita abaikan terus isu-isu yang melibatkan rakyat. Dalam politik, kedua-duanya berjalan seiringan,” katanya.

Melainkan katanya, ada pihak yang mengaku berkawan tetapi enggan berunding, enggan berkongsi dan cenderung membolot hampir semua kerusi atau jawatan.

Beliau secara sinis berkata, ini adalah sebenarnya contoh tepat bagi pihak yang gelojoh atau tamak.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast