NEW YORK – Gabenor Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat, Christopher Waller berkata, bank pusat itu sepatutnya menurunkan penanda aras kadar faedah pada mesyuarat monetary yang dijadualkan diadakan tidak lama lagi.
“Walaupun saya percaya kita sepatutnya telah menurunkan kadar pada Julai, saya masih berharap pelonggaran dasar monetari pada mesyuarat akan datang dapat mengelakkan kemerosotan pasaran buruh,” kata Waller dalam ucapannya di Miami.
Fed dijadual bermesyuarat pada 16 dan 17 September ini.
Waller menegaskan, beliau menyokong pengurangan sederhana sebanyak 25 mata asas, namun menambah pendiriannya boleh berubah jika laporan pekerjaan 5 September menunjukkan kelembapan ekonomi yang ketara.
Kenyataannya selari dengan gesaan berulang kali oleh Presiden Donald Trump untuk menurunkan kadar, yang bertentangan dengan pendekatan berhati-hati Pengerusi Fed, Jerome Powell.
Pada mesyuarat terakhir, Waller dan Naib Pengerusi Michelle Bowman antara yang menyokong pemotongan kadar, tetapi majoriti ahli memilih mengekalkan dasar sedia ada.
Waller, seorang ahli ekonomi, turut dilaporkan sedang dipertimbangkan oleh pentadbiran Trump sebagai pengganti Powell. – Agensi
















