KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya Kerajaan Madani menepati komitmen terhadap prinsip demokrasi dengan memulihkan semula pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan, khususnya di Wilayah Persekutuan.
Gesaan itu diutarakan Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Wilayah Persekutuan yang menyifatkan, langkah itu sebagai keperluan mendesak untuk memperkukuh tadbir urus bandar, meningkatkan kebertanggungjawaban serta memperkasakan penduduk tempatan.
Timbalan Pengerusinya, Tan Kok Eng berkata, pemansuhan pilihan raya kerajaan tempatan sejak lebih 50 tahun lalu telah menafikan hak penduduk untuk menentukan kepimpinan tempatan mereka sendiri.
“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tidak mempunyai kerajaan tempatan atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Akibatnya, penduduk di sini tidak mempunyai saluran yang jelas untuk mengutarakan isu-isu setempat,” katanya dalam kenyataan bersama kepimpinan MCA Wilayah Persekutuan hari ini.
Beliau turut mempersoalkan kawal selia terhadap perbelanjaan besar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mencecah RM2.835 bilion tanpa adanya wakil rakyat tempatan yang dipilih.
Dalam pada itu Kok Eng menegaskan, MCA Wilayah Persekutuan menggesa DAP agar membuktikan kesungguhan mereka dalam isu tersebut selari dengan komitmen yang pernah dinyatakan sejak tahun 1968.
“DAP memiliki 40 ahli Parlimen dan turut memegang jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Maka sudah tiba masanya mereka ‘cakap serupa bikin’ dan menerajui usaha mengembalikan ‘kuasa ketiga’ ini,” ujar Kok Eng.
Sementara itu dalam kenyataan sama, Setiausaha MCA Wilayah Persekutuan, Matthew Lee Kah Hing pula menekankan, beban yang ditanggung oleh wakil rakyat Parlimen terlalu besar tanpa adanya wakil-wakil tempatan yang boleh membantu secara langsung.
“Sebagai contoh, di kawasan Seputeh yang mempunyai 126,000 pengundi, adalah mustahil bagi seorang ahli Parlimen untuk berkhidmat secara menyeluruh tanpa sokongan ahli majlis tempatan,” ujarnya.
Tambah beliau, penduduk Seputeh sebelum ini turut menganjurkan kempen “Cari Ahli Parlimen Kami”, menunjukkan rasa kecewa terhadap ketiadaan wakil yang benar-benar mendengar dan bertindak terhadap isu mereka.
Ketua Wanita MCA Wilayah Persekutuan, Liew Kim Moy pula berkata, Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Wanita MCA 2025 sebulat suara meluluskan resolusi menggesa agar pilihan raya kerajaan tempatan dikembalikan.
“Penduduk perlu diberi kuasa untuk memilih wakil yang akan memperjuangkan hak mereka, menyelesaikan masalah setempat dan memastikan ketelusan dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan,” katanya.
MCA turut mengakui bahawa pelaksanaan menyeluruh pilihan raya kerajaan tempatan di seluruh negara akan mengambil masa. Namun begitu, menurut mereka, Wilayah Persekutuan merupakan kes yang sangat mendesak kerana ketiadaan struktur pemerintahan setempat.
Justeru katanya, satu garis masa yang jelas perlu ditetapkan segera, termasuk reformasi undang-undang dan langkah menangani cabaran pelaksanaan.
“Demokrasi tidak boleh diamalkan secara terpilih. Rakyat berhak mendapat perkhidmatan terbaik, dan ‘kuasa ketiga’ tidak wajar dikorbankan demi kepentingan politik semata-mata,” tegas kenyataan itu lagi.
MCA Wilayah Persekutuan turut menegaskan bahawa tiada lagi alasan untuk menangguhkan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan dan menyeru agar kerajaan segera bertindak demi masa depan sistem demokrasi negara. — MalaysiaGazette
















