JOHOR BAHRU – Pas Johor mendesak agar pewartaan fatwa pengharaman permainan kuda kepang dilakukan secepat mungkin bagi membanteras ajaran sesat dan memelihara akidah umat Islam di negeri ini.
Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor sudah memutuskan perkara itu sejak 18 Februari 2009 namun sehingga kini masih belum diwartakan secara rasmi.
“Kami menyokong usaha Jabatan Mufti Johor dan agensi berkaitan yang sedang berusaha memperkemas proses ini serta menyediakan penjelasan dan alternatif budaya yang lebih selari dengan ajaran Islam.
“Kami menyeru semua pihak khususnya institusi agama, penggerak masjid, kepimpinan masyarakat dan badan kebudayaan agar terus memainkan peranan dalam menyedarkan masyarakat, membendung ajaran sesat serta memastikan warisan budaya negeri ini dipelihara tanpa sebarang unsur khurafat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum itu, tular video berdurasi beberapa minit dimuat naik dalam Facebook Giustizia Spada memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita berkumpul dan kelihatan melakukan ritual diiringi paluan gong dan alunan muzik di Parit Raja, Batu Pahat.
Dalam video terbabit juga dua lelaki kelihatan seperti kerasukan dan persembahan ditonton oleh orang ramai yang memenuhi kawasan berkenaan.
Hari ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan polis segera mengambil tindakan dan menjalankan siasatan terperinci berhubung video tular tersebut.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, Pas Johor yakin dengan tindakan tegas kerajaan negeri disokong masyarakat Islam Johor, negeri ini akan terus terpelihara daripada ajaran songsang sekali gus memperkukuh kedudukan Islam sebagai tonggak negeri berdaulat.
Pas Johor katanya, menyokong penuh pendirian tegas Onn Hafiz dalam menangani isu tersebut.
Tindakan pantas mengarahkan JAINJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) katanya, untuk menyiasat serta membanteras ajaran sesat ini adalah langkah yang tepat demi memelihara akidah umat Islam di negeri ini.
“Kami berpandangan sebarang ajaran songsang, khurafat, tahyul atau pemujaan yang bertentangan dengan syariat Islam mesti ditangani secara menyeluruh tanpa kompromi.
“Perkara ini bukan sahaja menjejaskan akidah, malah menggugat keharmonian masyarakat serta membuka ruang kepada unsur-unsur yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam,” katanya.- MalaysiaGazette
















