Keadaan di Flat Kuchai Jaya yang semakin uzur dan penuh dengan sampah sarap serta semak-samun ketika di Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2025.
Keadaan di Flat Kuchai Jaya yang semakin uzur dan penuh dengan sampah sarap serta semak-samun ketika di Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Di tengah hiruk-pikuk kota raya, wujud puluhan penempatan yang seakan terpinggir daripada arus pembangunan.

Satu daripadanya Flat Kuchai Jaya yang mungkin kelihatan seperti blok kediaman biasa di tengah bandar.

Namun, bagi penghuninya, realiti hidup di sini penuh dengan cabaran keselamatan, kebersihan dan keselesaan yang semakin menekan.

Bangunan berusia lebih dua dekad itu kini mengalami pelbagai kerosakan.

Dinding retak, bumbung bocor, lif tidak berfungsi dan sistem saliran yang tidak lagi sempurna. Keadaan bertambah sukar apabila tiada lif disediakan, memaksa warga emas mendaki tangga setiap hari.

Maimunah Ahmad, 63, bimbang flat yang didiaminya semakin usang dan tidak lagi selesa . Foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2025.

Bagi Maimunah Ahmad, 63, yang sudah lebih 30 tahun mendiami flat berkenaan, kehidupannya tidak pernah tenang sejak usia meniti senja.

“Keadaan di sini amat tak selesa. Keselamatan pun tak terjamin, budak-budak nak main pun kena dipantau selalu. Pendatang pun ramai, jadi kita rasa tak bebas.

“Cabaran paling besar bagi saya ialah kena panjat tangga setiap hari. Orang muda mungkin tak rasa, tapi kami yang dah berumur ini memang tak larat lagi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Keadaan di Flat Kuchai Jaya yang semakin uzur dan penuh dengan sampah sarap serta semak-samun ketika di Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2025.

Tambah Maimunah, harapannya hanya satu, iaitu rancangan pembaharuan semula bandar (PSB) benar-benar dilaksanakan agar penduduk diberikan kediaman lebih selesa.

“Rumah ini dah lama, dinding retak sana-sini, lif tak berfungsi. Kalau kerajaan nak bina semula, saya sangat alu-alukan, asalkan penduduk diberi rumah ganti yang lebih baik,” ujarnya.

Penduduk, Seri Rizky Hadi, 42, berkongsi pengalaman tinggal di Flat Kuchai Jaya yang semakin terdedah dengan ancaman jenaya.  Foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2025.

Bagi seorang lagi penduduk, Seri Rizky Hadi, 42, isu keselamatan terus menghantui dirinya selepas menjadi mangsa pecah rumah, satu pengalaman pahit yang masih membayangi keluarganya sehingga kini.

Menurutnya, keadaan flat yang semakin usang selain kawalan keselamatan yang longgar membuatkan penduduk hidup dalam kebimbangan berpanjangan.

“Satu pagi saya keluar hantar kuih, tak sampai 10 minit balik rumah dah kena pecah masuk. Nasib baik anak-anak selamat. Kalau harta boleh dicari, tapi keselamatan keluarga itu yang paling saya risau.

Keadaan di Flat Kuchai Jaya yang semakin uzur dan penuh dengan sampah sarap serta semak-samun ketika di Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2025.

“Kereta pernah hilang, motosikal pun tak selamat. Kami pun takut kalau anak-anak keluar,” ujarnya.

Katanya lagi, keadaan bertambah parah dengan sampah berselerakan, saluran najis bocor serta air bertakung yang meningkatkan risiko penyakit. Kawasan itu juga pernah dilanda puting beliung hingga menyebabkan bumbung tercabut.

Walaupun ada segelintir penduduk berusaha membersihkan kawasan melalui gotong-royong, masalah asas seperti sampah sarap, serta kerosakan struktur tidak mampu ditangani tanpa campur tangan pihak berkuasa.

Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang sedang digubal kerajaan menjadi harapan baharu buat ribuan penduduk flat lama di bandar, yang kini hidup dalam keadaan serba kekurangan dan serba takut.

Kisah Razak Mansion, Bandar Tun Razak menjadi bukti nyata keberkesanan projek pembaharuan semula yang dilaksanakan tujuh tahun lalu.

Anthony Tan

Bagi Anthony Tan, yang lahir dan membesar di situ, pembangunan semula itu telah mengubah sepenuhnya kehidupan penduduk.

“Dulu Razak Mansion cuma flat kos rendah, 400 kaki persegi, tiada sekuriti, semuanya terbuka. Sekarang ia bertukar menjadi apartmen ‘fully gated’ lengkap dengan pengawal keselamatan serta tempat parkir bertutup. Malah, nilai rumah juga melonjak daripada RM60,000 kepada RM300,000,” katanya teruja.

Lebih penting, menurutnya, komuniti di situ kini lebih erat dengan adanya dewan serbaguna, pasar pagi, sekolah, rumah ibadat serta pelbagai kemudahan lain yang mudah diakses.

Abd Wahab Mohd Isa

Seorang lagi penduduk, Abd Wahab Mohd Isa, yang hampir tiga dekad tinggal di rumah lama Razak Mansion yang sering dilanda banjir, kini mengakui kehidupannya jauh lebih selesa.

“Dulu rumah kecil, dua bilik tidur sahaja. Sekarang ada tiga bilik, dua bilik air, keluasan 800 kaki persegi. Alhamdulillah, lif pun tak pernah rosak, keselamatan lebih terjaga. Dulu surau pun boleh banjir bila hujan, sekarang semuanya besar dan bersih,” katanya bersyukur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast