Azhar Zainal Abidin

MERSING – UMNO Bahagian Mersing akan mempertahankan kerusi Parlimen Mersing dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau walaupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan hasrat untuk merampas kedua-dua kerusi pada pilihan raya akan datang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Mersing, Azhar Zainal Abidin berkata, ia kerana Parlimen dan DUN tersebut adalah kerusi tradisi yang ditandingi UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama.

“UMNO BN telah membuktikan rekod khidmat yang cemerlang di Mersing, bukan sahaja dalam aspek pembangunan infrastruktur dan ekonomi, tetapi juga dalam membela kepentingan rakyat di kawasan parlimen dan DUN ini.

“Sokongan rakyat terhadap UMNO Barisan Nasional masih kuat meskipun tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

“Pemuda UMNO Bahagian Mersing ingin menegaskan bahawa kami akan berdiri teguh di belakang kepimpinan parti dalam mempertahankan kerusi tradisi UMNO dan BN ini.

“Kami yakin bahawa rakyat Mersing dan Endau lebih mengenali siapa yang benar-benar bekerja untuk mereka dan siapa yang hanya datang menabur janji ketika musim pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Isnin lalu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyatakan hasrat untuk PKR bertanding di kerusi Parlimen Mersing dan DUN Endau yang berada dalam Parlimen tersebut.

Menurut Dr Zaliha, PKR Johor berhasrat menawan kerusi Parlimen Muar dan Pagoh pada PRU-16 selain kerusi DUN Maharani dalam Parlimen Muar, DUN Bukit Kepong (Parlimen Pagoh) dan Puteri Wangsa (Parlimen Tebrau) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, pada masa sama, Pemuda UMNO bahagian menyeru seluruh jentera parti khususnya anak muda di Mersing untuk terus memperkukuh gerak kerja di lapangan.

UMNO bahagian itu, katanya, tidak boleh leka dengan percaturan politik pihak lawan.

Sebaliknya, tegas beliau, mesti lebih agresif mendekati serta menyelesaikan masalah rakyat dan mengangkat agenda pembangunan belia serta masyarakat setempat.

“UMNO Mersing kekal komited untuk memperjuangkan nasib rakyat. Kita percaya bahawa kekuatan akar umbi yang padu bersama semangat perjuangan yang diwarisi akan memastikan kerusi Parlimen Mersing dan DUN Endau akan dirampas kembali di bawah panji UMNO dan BN,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast