JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum kemalangan di Jalan Bukit Impian, Taman Impian Emas, Skudai di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 8.50 pagi melibatkan motosikal jenis Yamaha Y15ZR.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang lelaki tempatan berusia 27 tahun itu datang dari Jalan Pontian menuju ke Impian Emas telah hilang kawalan.
“Mangsa kemudian terjatuh di bahu jalan sebelah kanan Jalan Bukit Impian,” katanya dalam satu kenyataan.
Akibat kemalangan tersebut penunggang terbabit mengalami cedera pada bahagian betis, tangan kanan serta dipercayai mengalami kecederaan dalaman dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kemalangan tersebut disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.
Pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut agar menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Hafiz Aminuddin 011-35807871.- MalaysiaGazette
















