Penunjuk perasaan merusuh dengan anggota polis semasa demonstrasi menentang gaji dan elaun tinggi yang diberikan kepada Ahli Parlimen serta menuntut pembubaran parlimen berhampiran bangunan Dewan Perwakilan Rakyat di Jakarta pada 25 Ogos 2025. Foto AFP

KUALA LUMPUR – Perbandingan dalam insiden rusuhan di Indonesia ketika ini dengan situasi paling tepat dan wajar ditujukan kepada ahli-ahli Parlimen Malaysia yang sering tidak hadir atau `ponteng’ sidang Dewan Rakyat.

Ini kerana, menurut pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, ahli-ahli Parlimen di negara ini menerima gaji dan elaun yang disifatkan tinggi.

Sehubungan itu, beliau yang juga Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik UMT menambah, Ahli-ahli Parlimen berkenaan sepatutnya lebih `beringat-ingat’ supaya tidak terus `culas’ daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Tambah beliau, bukan kesalahan atau menjadi isu untuk membincangkan rusuhan yang berlaku di Indonesia ketika ini dalam konteks supaya Kerajaan Madani juga berwaspada serta mengambil pengajaran dan teladan.

Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim

Namun, katanya, perbandingan itu perlu dibuat dengan pertimbangan yang wajar mengambil kira situasi semasa pentadbiran Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menurut beliau, sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Anwar segera mengumumkan beliau tidak akan mengambil gaji bagi jawatannya itu.

Malah, katanya, Anwar turut mengumumkan gaji-gaji Menteri Kabinet beliau dipotong sebanyak 20 peratus dan selepas lebih dua tahun, gaji ahli-ahli Parlimen juga tidak pernah dinaikkan.

“Ya, gaji dan elaun Ahli Parlimen Malaysia agak lumayan. Tapi skim saraan tersebut dinaikkan sebelum ini bukan sewaktu kerajaan Malaysia Madani,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau.

Selain itu, tambah Mohd Yusri, Anwar juga sangat obses untuk membantu golongan marhain dalam pentadbiran beliau dan berusaha keras untuk mengurangkan jurang ekonomi dalam kalangan rakyat.

Katanya, usaha itu mungkin belum berjaya sepenuhnya, Anwar dilihat sangat gigih dan fokus terhadap agenda tersebut.

“Ini kebenaran yang perlu kita akui sama ada suka atau tidak. Saya catatkan ini kerana ramai yang cuba singgung kejadian rusuhan di Indonesia dengan situasi di Malaysia.

“Banyak komen seumpama itu bertebaran dalam media sosial. Menyamakan apa yang berlaku di Indonesia dengan Malaysia, menala kejian kepada PMX (Anwar) dan Kerajaan Madani,” katanya.

Membandingkan dengan apa yang berlaku di Indonesia, tambahnya, fokus kemarahan anak muda negara itu antaranya disebabkan kenaikan elaun berlipat kali ganda kepada anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).

Situasi itu, jelasnya, menyebabkan wujudnya jurang pendapatan yang sangat besar dengan golongan `wong cilik’ (golongan marhain) di negara tersebut.

“Inilah salah satu faktor utama mereka bangkit memberontak, ada beberapa faktor lain juga. Sebab itu mereka menyerang bangunan DPR dan rumah-rumah anggota DPR,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kalau sudah kebiasaan makan dari hasil yg tidak halal pasti kifarah akan dtg baik secara sedar atau tidak… janji Allah itu pasti, cuma masa saja yg dapat menentukan. Ingat ponteng dari Amanah dan tanggungjawab adalah RASUAH.

Comments are closed.