KUALA LUMPUR – Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu terus kekal sebagai aset strategik negara yang menjaga kepentingan bumiputera.
Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Mohd Azamanizam Baharon berkata, Prolintas bukan sahaja berperanan menyediakan infrastruktur penting kepada rakyat malah merupakan pemegang amanah nilai ekonomi bumiputera dalam sektor pembangunan negara.
Menurutnya, kedudukan strategik itu perlu terus dipelihara supaya manfaatnya dirasai oleh generasi kini dan akan datang.
“Aset strategik seperti Prolintas adalah lambang pegangan ekuiti bumiputera yang mesti dipertahan dan diperkukuh.
“Kita menyokong penuh pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana syarikat milik penuh PNB ini wajib kekal berperanan besar dalam memacu pembangunan infrastruktur negara sambil menjaga kepentingan bumiputera sebagai sebahagian daripada ekosistem ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Azamanizam, sebarang langkah berkaitan aset strategik negara mesti menekankan prinsip menjaga kepentingan rakyat terbanyak serta memastikan agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera terus terjamin.
Kata beliau, pihaknya percaya langkah mengekalkan pemilikan aset strategik di bawah PNB akan memperkukuh kedudukan ekonomi negara serta dapat meningkatkan keyakinan pelabur.
Dalam masa sama langkah itu juga dapat menyokong usaha kerajaan dalam menjayakan gagasan ekonomi yang berteraskan kesejahteraan rakyat, keterangkuman dan daya tahan nasional.
Sebelum ini, Anwar meminta PNB meletakkan kepentingan nasional dan bumiputera sebagai pertimbangan utama dalam membuat sebarang keputusan.
Menurutnya, proses semakan strategik oleh PNB terhadap pelaburannya dalam Prolintas tidak wajar diteruskan jika memberi kesan negatif.
Tegas Anwar, selaku institusi yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan nasional dan bumiputera, PNB perlu mengekalkan peranan serta pegangan dalam aset strategik negara.
Teguran Perdana Menteri itu susulan laporan media yang mana PNB mengesahkan rundingan sedang dijalankan dengan beberapa pihak berhubung aset lebuh rayanya Prolintas, namun proses itu masih di peringkat awal dan belum ada sebarang keputusan dibuat setakat ini. – MalaysiaGazette
















