MUAR – Kerajaan Johor menyalurkan peruntukan berjumlah RM11 juta bagi mengukuh institusi keluarga menerusi program-program yang dirangka.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha memperkukuh peranan golongan wanita yang melibatkan tiga inisiatif utama.
“Pertama adalah bantuan tunai One-Off sebanyak RM300 kepada lebih 16,000 ibu tunggal di negeri Johor. Kedua bantuan tunai one-off sebanyak RM300 kepada lebih 18,000 pesakit kanser wanita.
“Ketiga pula RM1 juta peruntukan tambahan bagi memperkukuh lagi program pemerkasaan ekonomi wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Pesona Keluarga Johor 2025 di Bakri Junction Ballroom di sini hari ini.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, program anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) tersebut bukan sekadar sebuah inisiatif.
Jelas Menteri Besar Johor, ia merupakan manifestasi kesungguhan kerajaan negeri dalam membina keluarga sejahtera, memperkasa peranan wanita serta melindungi masyarakat daripada cabaran sosial yang semakin kompleks.
“Program ini dirangka untuk memperkukuh institusi keluarga, meletakkan wanita sebagai benteng utama dan pencetus perubahan sosial serta memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian dan sokongan sewajarnya.
“Dalam majlis ini, saya juga berkesempatan menyampaikan beberapa sumbangan penting, termasuk Skim Bantuan Peralatan Perniagaan, Sumbangan Tunai Anak Angkat Makmur Johor (AMJ), Hadiah Kecemerlangan Pelajar (AMJ) serta penyerahan Kad OKU baharu berteknologi kod QR,” ujarnya.
Semua inisiatif itu, katanya, digerakkan bagi memperkukuh kesejahteraan keluarga, memperkasa wanita, menyokong pelajar, dan membela golongan rentan di Johor.
Semoga segala inisiatif tersebu menjadi pemangkin kepada kesejahteraan setiap keluarga di Johor, katanya.
“Dengan komitmen, kerjasama serta sokongan semua, saya yakin usaha ini akan terus memberi manfaat yang berpanjangan, dan membuahkan hasil demi kesejahteraan Bangsa Johor. Insya-Allah,” katanya.- MalaysiaGazette
















