KUALA LUMPUR – Penulis blog Papagomo dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada pertuduhan menghasut dengan mengaitkan kerajaan yang memerintah, pro kepada Israel dan negara barat.
Hakim Siti Aminah Ghazali memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 42, pada akhir kes pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, Wan Muhammad Azri didakwa telah menyebut kata-kata menghasut (mengaitkan kerajaan pro kepada Israel dan negara barat) dalam laman sosial Facebook milik seorang individu pukul 1 tengahari pada 8 November 2023.
Kata-kata menghasut itu kemudian dilihat oleh seorang individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di sini.
Berikutan itu kesalahan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam manakala Wan Muhammad Azri diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.
Sepanjang perbicaraan, seramai sembilan saksi pendakwaaan dipanggil memberi keterangan. – MalaysiaGazette
















