KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu melakukan audit menyeluruh termasuk semakan teknikal dan pentadbiran terhadap sistem MyKasih susulan kritikan terhadap kelemahan sistem tersebut dalam mengendalikan pelaksanan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ketika ini.
Ahli Dewan Tertinggi Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Kamarudin Ismail berkata, semakan itu termasuk terhadap latar belakang vendor serta keberkesanan kontraktor yang mengendalikan sistem MyKasih.
Selain itu, beliau yang juga Ketua Bahagian Putra Hulu Langat berkata, kerajaan juga perlu telus dengan memberi penjelasan secara terbuka kepada rakyat berkenaan punca masalah dan penambahbaikan MyKasih.
Dalam masa sama, ujarnya, agensi yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan inisitiaf Penghargaan SARA iaitu Kementerian Kewangan; Kementerian Ekonomi, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu bergerak seiring, bukannya bekerja secara berasingan.
Tambahnya, kerajaan juga perlu menyediakan terminal dan sokongan tambahan serta pasukan teknikal yang bergerak di pasar raya utama sepanjang pelaksanaan inisiatif itu.
Ujarnya, juruwang di pasar raya juga perlu dilatih untuk mengendalikan situasi kecemasan, manakala hotline khas perlu diwujudkan bagi maklum balas segera bagi membantu orang ramai menebus bantuan Penghargaan SARA.
“Program MyKasih tidak boleh dilihat hanya sebagai skim bantuan, tetapi sebagai cerminan kemampuan kerajaan Madani mengurus keperluan rakyat.
“Kritikan terhadap kelemahan sistem adalah wajar kerana ia menyentuh soal amanah dan kepercayaan rakyat.
“Namun pada masa sama, kerajaan diberi ruang untuk membuktikan keseriusan melalui tindakan segera, telus dan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, inisiatif Penghargaan SARA menerima rungutan orang ramai selepas mereka gagal menebus bantuan one off RM100 yang dikreditkan ke dalam Mykad berikutan sistem Mykasih yang tergendala.
Bagaimanapun, MyKasih menjelaskan, pihaknya sedang menangani isu gangguan tersebut yang berlaku disebabkan jumlah transaksi harian Penghargaan SARA yang terlalu tinggi sejak inisiatif itu mula boleh ditebus pada 1 September lalu.
Sementara itu, Kamarudin berkata, gangguan pelayan MyKasih yang menyebabkan pengguna tidak dapat menebus bantuan Penghargaan SARA bukan sekadar isu teknikal.
Sebaliknya, ujar beliau, ia menyentuh keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Madani yang menjanjikan pentadbiran cekap, telus dan berpusatkan rakyat.
“Bagaimana rakyat mahu percaya kepada agenda Madani jika isu asas seperti sistem kebajikan gagal diuruskan dengan baik?
“Ketika kerajaan melaungkan prinsip ihsan dan keadilan sosial, rakyat di pasar raya berdepan realiti terminal tergendala dan barangan ditinggalkan di kaunter,” katanya.
Tambahnya, dari sudut pengurusan pula, kegagalan MyKasih itu menimbulkan persoalan berhubung pemilihan vendor dan penyedia sistem sama ada mereka benar-benar berkelayakan atau hanya dilantik untuk memenuhi kepentingan tertentu.
“Kegagalan terminal dan sistem yang kerap tergendala mencerminkan kelemahan dalam ujian prapelaksanaan, pemantauan berterusan, serta sandaran teknikal.
“Dalam era digital, kegagalan asas sebegini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Tambah beliau, rakyat tidak menolak konsep Madani, tetapi mereka menuntut bukti nyata bahawa kerajaan mampu menterjemahkan slogan kepada tindakan.
“Jika tidak, MyKasih akan terus dikenang bukan sebagai “bantuan penyelamat rakyat”, tetapi sebagai simbol kegagalan pengurusan dan pentadbiran,” katanya. – MalaysiaGazette
















