BALIK PULAU – Seorang guru yang berdepan pertuduhan cubaan membunuh isterinya menggunakan sebilah pisau pada bulan lalu diperintahkan Mahkamah Sesyen di sini hari ini supaya dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani pemeriksaan mental.
Perintah itu dibuat Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin selepas tertuduh, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, memaklumkan dia tidak memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Melayu ketika prosiding berlangsung.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan cubaan membunuh isterinya, Hanis Sofea Hamdan, 28, dengan menggunakan sebilah pisau di sebuah rumah di Lintang Bayan 1, Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas, kira-kira pukul 5.45 pagi pada 27 Ogos lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani memohon mahkamah membenarkan tertuduh dirujuk ke hospital bahagia bagi pemeriksaan mental.
Beliau turut memaklumkan terdapat memo daripada seorang doktor di Hospital Pulau Pinang yang mencadangkan perkara sama.

Peguambela, Muhaimin Hashim, Yazid Khairul Azman dan Ismat Arif Abu Hassan yang mewakili tertuduh juga tidak membantah permohonan pihak pendakwaan selain memaklumkan bahawa anak guam mereka masih tidak memahami penjelasan peguam berkaitan prosiding itu.
“Kami bersetuju anak guam kami dihantar ke Hospital Bahagia bagi menilai sama ada dia layak atau tidak untuk menjalani perbicaraan,” katanya.
Hakim kemudian membenarkan permohonan berkenaan dan memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 Oktober depan.
Sementara itu, di luar pekarangan mahkamah Yazid Khairul turut memaklumkan anak guamnya tidak memberi sebarang respon kepada barisan peguambela dan dipercayai masih berada dalam keadaan tertekan.
ARTIKEL BERKAITAN:
Terhimpit hutang bank dan e-dagang dipercayai punca guru kelar isteri sendiri
Media sebelum ini melaporkan hutang pinjaman bank dan ansuran e-dagang dipercayai punca pergaduhan sehingga guru tersebut bertindak mengelar isterinya.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan awal pihak polis mendapati suspek berusia 30 tahun yang juga seorang guru itu membuat pinjaman bank untuk pelaburan saham selain pembayaran ansuran barangan yang dibeli melalui platform e-dagang.
“Setakat ini hasil siasatan mendapati punca pergaduhan pasangan itu disebab hutang namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Dakwaan suspek mempunyai hutang dengan ahlong itu tidak benar sebaliknya, dia membuat pinjaman dengan institusi kewangan yang sah,” kata Sazalee.
Dalam kejadian pada 27 Ogos lalu, seorang guru wanita nyaris maut akibat dikelar suaminya yang juga seorang guru dalam kejadian di sebuah kediaman di Taman Tunas Muda di sini.
Kejadian kira-kira 6 pagi itu disedari ibu mangsa selepas terdengar jeritan anaknya dari tingkat atas sebelum mendapati menantunya sedang menindih mangsa sambil cuba mengelar leher isterinya. – MalaysiaGazette
















