Seorang maut selepas motosikalnya terbabas dan melanggar dua kereta di Batu 30, Jalan Stulang Gajah, Lenga di Muar, semalam.

MUAR – Seorang lelaki maut selepas motosikalnya terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar dua kereta di Batu 30, Jalan Stulang Gajah, Lenga di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu daripada orang awam pada pukul 6.05 petang melibatkan sebuah motosikal dan dua kereta.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila seorang wanita tempatan berusia 36 tahun memandu kereta dari arah Labis menuju Kampung Tui, Lenga.

“Kemudian keretanya dirempuh sebuah motosikal secara tiba-tiba yang memasuki laluannya dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, penunggang itu iaitu seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun kemudian terbabas dan melanggar sebuah lagi kereta dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun yang sedang berhenti di persimpangan jalan untuk ke simpang berhampiran.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu penunggang tersebut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

Menurut beliau, kedua-dua pemandu tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahann boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000.

Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Khairun Izham Noor Yusry di talian 013- 9121508

Mereka juga boleh datang ke balai polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Muar untuk membantu siasatan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast