JOHOR BAHRU – Pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengetuai Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) mampu memainkan peranan berkesan.
Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar berkata, pelantikan itu amat tepat pada masanya memandangkan Johari adalah seorang tokoh berwibawa dengan pengalaman luas dalam bidang kewangan, korporat dan pembangunan bandar.
Yahya berkata, pihaknya yakin langkah itu akan memperkukuh lagi peranan UMNO sebagai parti yang sentiasa mendengar suara rakyat, mengangkat isu-isu sebenar masyarakat dan meletakkan kepentingan bangsa serta negara sebagai keutamaan.
“UMNO Johor Bahru kekal konsisten bahawa setiap dasar dan undang-undang yang dibentangkan mestilah berpaksikan kepentingan rakyat, melindungi hak pemilik tanah dan hartanah.
“Ini termasuk memastikan pembangunan semula bandar memberi manfaat seimbang kepada semua pihak tanpa mengorbankan hak rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan pelantikan itu dan memberitahu pasukan khas tersebut bertanggungjawab meneliti serta memperhalusi setiap aspek RUU URA secara terperinci sebelum dibentang dalam Konvensyen Melayu Bandar pada hujung September ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan RUU URA perlu dilaksanakan bagi memberi ruang kepada projek pembinaan semula kediaman selesa untuk kesejahteraan rakyat.
Mengulas lanjut, Yahya berkata, UMNO Johor Bahru percaya bahawa Konvensyen Melayu Bandar nanti merupakan platform sebenar untuk membincangkan isu-isu berkaitan pembangunan semula bandar.
Jelasnya, ini termasuk mendapatkan pandangan rakyat khususnya masyarakat bandar dan pemilik hartanah sebelum RUU itu dimuktamadkan.- MalaysiaGazette
















