KUALA LUMPUR – Seluruh perwakilan diseru menghayati kepentingan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2025 itu yang mungkin menjadi perhimpunan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, para perwakilan perlu mengambil pedoman daripada ucapan pemimpin kanan Bersatu sepanjang PAT kali ini khususnya peringatan yang bakal disampaikan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Selain itu, ujarnya, adalah penting untuk setiap perwakilan dan semua ahli Bersatu memahami sepenuhnya temat PAT kali ini iaitu `Bersatu Menuju Kejayaan’.
“Ini kerana tema ini adalah kunci kepada setiap pendekatan dan gerak kerja parti kita dalam menuju PRU-16 dan usaha memulihkan serta mengembalikan semula negara ini ke landasan yang betul,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Tun Faisal, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) kini berada dalam posisi yang baik untuk kembali ke Putrajaya melihat kepada sokongan rakyat yang semakin meningkat.
Dalam masa sama, ujarnya, keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) serta Kerajaan Perpaduan pula semakin merosot disebabkan kegagalan menunaikan janji-janji, termasuk janji reformasi dan pelbagai kepincangan dalam mentadbir dan menguruskan negara.
Sementara itu, ditanya berkenaan dakwaan wujud konflik dalam Bersatu akibat pergeseran antara kem pemimpin, Tun Faisal berkata, sebarang tohmahan sama ada wujud `si kitol’; `broker’ atau surat layang adalah agenda musuh untuk merosakkan kesatuan parti tersebut.
Jelasnya, musuh politik Bersatu dan PN kini menyedari mereka sedang mengalami defisit keyakinan yang parah dan kemungkinan dihukum oleh rakyat dalam PRU-16.
“Jadi, salah satu cara untuk menghentikan momentum sokongan terhadap Bersatu dan PN adalah dengan berusaha memecahbelahkan Bersatu dan PN dengan pelbagai helah, termasuk melalui usaha menghasut pemimpin-pemimpin Bersatu dan parti-parti komponen PN,” katanya.
Tambah beliau, musuh politik Bersatu dan PN juga menyedari kerjasama dan kesatuan parti itu dengan pihak ketiga seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan Melayu-Islam di bawah `Payung Besar Melayu’ juga semakin kukuh.
“Begitu juga dengan kesepakatan parti-parti bukan kerajaan lain bersama Bersatu dan PN dalam memperjuangkan masalah rakyat yang menyatukan undi protes terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani PH-BN yang bermungkinan besar akan menerima tamparan hebat daripada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















