Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan membidas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menasihatkan MIC supaya hanya membangkitkan isu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) dan bukan di luar.

Menurut Saravanan, kenyataan Mohamad Hasan itu tidak tepat malah bersifat ‘selektif’ kerana UMNO sendiri berulang kali mengetepikan keputusan dan semangat konsensus BN.

“Dengan segala hormat, ingatan Tok Mat tampak agak selektif. Selepas PRU15, BN berada dalam krisis apabila Datuk Seri Zahid Hamidi secara unilateral mengutus surat kepada Istana (Negara) mendakwa BN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Tindakan itu sendiri dibuat tanpa pengetahuan, persetujuan atau mandat Majlis Tertinggi BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Hasan

Tambah Ahli Parlimen Tapah itu, apabila perkara itu terbongkar, tiga daripada empat parti komponen bersetuju Zahid perlu berundur dan jawatan Pengerusi BN diambil alih oleh Tok Mat.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu tidak pernah dilaksanakan kerana Tok Mat memilih untuk berdiam diri.

“Jika resolusi BN sendiri tidak boleh dikuatkuasakan, apa gunanya menasihati orang lain supaya hanya ‘bercakap dalam mesyuarat’?,” soalnya.

Selain itu Saravanan juga membangkitkan isu akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani calon-calon BN tetapi tidak pernah dibawa ke Majlis Tertinggi BN untuk disahkan.

“Adakah ia pernah dibentangkan dan buat keputusan? Tidak. Jadi apa nilai mesyuarat yang dipertahankan Tok Mat ini. Bagaimana pula dengan pembahagian kerusi ketika enam pilihan raya negeri lalu dibuat secara unilateral tanpa perbincangan konsensus BN?

“Apabila MIC dan MCA dinafikan tambahan dua kerusi, adakah perkara itu dibincangkan dalam Majlis Tertinggi BN? Jawapannya jelas: tidak,” ujarnya.

Tambahnya lagi,  pelantikan Datuk Seri Johari Ghani sebagai Menteri dalam rombakan Kabinet juga tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat BN, begitu juga isu addendum berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam pada itu, Saravanan menegaskan dirinya menghormati Tok Mat sebagai sahabat, namun pada saat genting, Timbalan Presiden UMNO itu dilihat gagal bertindak.

“Untuk beliau menegur MIC kononnya tentang bercakap dalam mesyuarat sedangkan UMNO sendiri membelakangi rakan gabungan, mengelirukan Istana dan mengabaikan resolusi BN, ia bukan sahaja tidak adil, malah amat ironik,” tegasnya.

Dalam pada itu, Saravanan menegaskan MIC tidak akan berdiam diri dalam mempertahankan maruah masyarakat India dan prinsip politik gabungan.

“MIC sejak dahulu sentiasa bersuara dengan tegas, konsisten dan berprinsip. Masalah sebenar bukan MIC yang berdiam diri, tetapi pengkhianatan UMNO terhadap kepercayaan sesama gabungan.

“Sejujurnya, bila melihat keprihatinan tiba-tiba tentang ‘berbincang dalam mesyuarat BN’, saya sendiri tidak tahu patut ketawa atau menangis.

“Namun, biarlah rekod menunjukkan bahawa MIC tidak akan sekali-kali berdiam diri apabila maruah masyarakat kami dan prinsip politik gabungan dipertaruhkan,” tegasnya.

Semalam, Mohamad Hasan menasihatkan kepimpinan MIC untuk tidak mengambil jalan singkat mengeluarkan kenyataan di luar Dewan Tertinggi BN sebaliknya bersuara dalam mesyuarat berikutan beberapa kenyataan oleh pimpinan parti itu dalam media. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

  1. cakap banyak orang orang tua kata berak pasti busuk. Banyak cakap takde guna nanti suara boleh hilang..tindakan lebih utama.

Comments are closed.