KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki dan sedang menyiasat dua kes berasingan melibatkan unsur hasutan, ugutan jenayah serta dakwaan tidak benar yang ditularkan di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar berkata, kes pertama melibatkan hantaran pemilik akaun TikTok Mohd Soie (@Mohd.Soie3) yang mengandungi unsur hasutan serta penghinaan terhadap kerajaan.
“Kes itu disiasat di Bawah Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan seorang lelaki warganegara tempatan berusia 45 tahun ditahan,” katanya dalam kenyataan.
Bagi kes kedua, ia melibatkan satu komen oleh akaun Facebook MdJohan Ngadin yang berbaur ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 dan seorang lelaki warganegara tempatan ditahan bagi membantu siasatan.
Polis memberi amaran tegas terhadap mana-mana individu yang sengaja membuatm memuat naik, berkongsi atau menyebarkan hantaran tidak benar yang menggugat keharmonian masyarakat akan berdepan dengan tindakan tegas tanpa kompromi. – MalaysiaGazette
















