MUAR – Seorang lelaki yang menunggang motosikal dari Serom, Sungai Mati ke bandar ini untuk mengeluarkan wang pencen bapanya hilang sejak 2 September lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, Sabri Sipun, warga tempatan berusia 51 tahun itu tidak pulang sejak enam hari lalu dan sehingga kini masih belum pulang ke pangkuan keluarga.
“Hasil maklumat orang awam, Sabri kali terakhir dilihat menunggang motosikal di kawasan Serom menghala ke bandar pukul 5 petang, pada 2 September lalu.
“Mangsa telah memaklumkan kepada ibunya hendak ke bandar bagi tujuan mengeluarkan wang pencen arwah bapanya dengan menaiki sebuah motosikal jenis Demak 100cc berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pelbagai usaha mengesan telah dilakukan pihak polis bersama-sama penduduk setempat sekitar Kampung Panchor, pekan Bukit Gambir dan bandar Muar, namun masih belum ditemui.
“Pakaian terakhir mangsa adalah memakai baju lengan panjang berkolar berwarna putih kelabu, seluar slack panjang coklat dan membawa porch bag berwarna merah.
“Alamat terakhirnya adalah di Kampung Jawa Panchor, Muar dengan mempunyai fizikal badan kurus dan muka lonjong,” katanya.
Tambah Raiz Mukhliz, usaha menjejakinya masih giat dijalankan bagi mengesan keberadaan mangsa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali mangsa diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Panchor 06-9871222, hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar 06-9564800 atau terus berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Rizal Mat Nasir 019-9219769.- MalaysiaGazette
















