ISKANDAR PUTERI – Persefahaman antara pemain merupakan antara faktor yang membantu skuad Harimau Malaya menewaskan Palestin 1-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
Penjaga gol skuad negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang membuat pendedahan itu berkata, pihaknya pasa masa sama berbangga dengan aksi bertenaga dipamerkan rakan-rakan sepasukan di sepanjang perlawanan hingga merealisasikan kemenangan.
“Alhamdulillah, untuk perlawanan malam ini, pemain bermain secara bersepasukan dan memberikan komitmen lebih 100 peratus dan mengekalkan momentum sehingga tempoh 90 minit permainan.
“Kami saling berkomunikasi bagi memastikan pemain berada di posisi yang betul dan membentuk barisan pertahanan yang tersusun. Dengan cara ini, kita dapat beraksi mengikut strategi dan formasi yang diterapkan jurulatih.
“Kesungguhan yang dipamerkan rakan sepasukan amat baik dan saya tabik kepada semua pemain yang ada dalam pasukan ini,” katanya dalam sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.
Pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 itu menyaksikan skuad Harimau Malaya menewaskan Palestin hasil jaringan tunggal penyerang, Joao Figueiredo, seawal minit ke-2.
Lebih manis, Ahmad Syihan Hazmi turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan setelah mempamerkan aksi cemerlang menafikan beberapa percubaan skuad Lions of Canada itu di sepanjang perlawanan.
Sementara itu, Ahmad Syihan mengingatkan rakan sepasukan agar tidak terus dibuai kemenangan berkenaan tetapi sebaliknya berusaha lebih keras bagi memperkuatkan pasukan pada masa hadapan.
Katanya, masih ada ruang yang perlu ditambah baik dalam usaha memastikan skuad negara memberikan aksi yang lebih memberangsangkan.
“Kita tidak boleh hanya berpuas hati dengan keputusan malam ini, perjalanan kita masih jauh dan fokus kita adalah untuk layak keAFC (Piala Asia), kita perlu tambah baik apa yang perlu.
“Bagi saya sendiri, tidak boleh berada dalam situasi berpuas hati dan perlu kerja lebih kuat lagi untuk mempertingkat kualiti permainan,” katanya.- MalaysiaGazette
















