Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay melawat tapak pameran selepas hadir ke Majlis Perasmian 6th National Forensic Science Symposium For Law Enforcement (NAFSLE) 2025 di Maktab PDRM Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Landskap jenayah yang semakin kompleks menuntut pengukuhan keupayaan fasiliti teknologi sains forensik yang lebih moden dan canggih agar dapat menandingi trend manipulasi oleh sindiket jenayah global, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata, penganjuran Simpósium Forensik Kebangsaan untuk Penguatkuasaan Undang-Undang (NAFSLE) merupakan inisiatif Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang merupakan platform utama perkongsian ilmu, kemahiran dan kepakaran kemajuan sains dan teknologi forensik dalam bidang penyiasatan dan pendakwaan melibatkan seluruh agensi penguat kuasa di Malaysia.

“Simposium ini menumpukan kepada sesi dialog perkongsian idea berkaitan inovasi sains forensik khususnya mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia.

“NAFSLE merupakan platform utama perkongsian ilmu, kemahiran dan kepakaran kemajuan sains dan teknologi forensik dalam bidang penyiasatan dan pendakwaan melibatkan seluruh agensi penguat kuasa di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium NAFSLE di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, hari ini.

Hadir sama Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azman Abdullah dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar.

Menurut Ayob Khan lagi, simposium edisi ke-6 yang bertemakan “Science Meets Justice: Powered by AI”, itu berjaya menghimpunkan seramai 280 orang terdiri daripada pengamal, pegawai penyiasat, ahli akademik dan pakar daripada jabatan, institusi serta agensi penguat kuasa di Malaysia.

Katanya, peserta simposium akan didedahkan dengan isu dan cabaran dalam siasatan forensik masa kini sekaligus menjana inovasi prinsip dan kaedah analisis bagi penyiasatan dan pendakwaan yang lebih ampuh dan mantap.

“Kehadiran para cendiakawan, pengamal dan pakar bidang siasatan sains forensik dari pelbagai agensi dan jabatan amat signifikan bagi memantapkan pelaksanaan operasi, penyiasatan dan pendakwaan kes oleh pegawai penguat kuasa undang-undang negara.

“Menzahirkan harapan agar penganjuran simposium NAFSLE ini dimanfaatkan secara optimum bagi memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan seluruh agensi penguat kuasa di Malaysia agar dapat menjamin kesejahteraan masyarakat dan kedaulatan tanah air tercinta,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast