KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM10 juta bagi Projek Ternakan Lebah Kelulut dan Projek tanaman cendawan melalui Program Ekonomi MADANI di 22 buah kem tentera di seluruh negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, projek tersebut membabitkan penyertaan keluarga anggota tentera yang dilaksanakan secara berfasa.
Projek ternakan Kelulut Fasa 1 dijangka memberikan hasil sekitar tahun 2026, yang mana purata 40 hive dari 22 kem terlibat dianggar menjana pendapatan sebanyak RM146,000 setahun kepada ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) yang terlibat dalam program ini.
Para peserta yang terlibat akan menerima latihan dan bengkel kemahiran keusahawanan serta khidmat professional termasuk pemantauan berterusan selama enam bulan.
Menurut beliau, keseluruhan projek di bawah Program Ekonomi MADANI yang telah diperkenalkan ini dijangka mampu menghasilkan nilai pendapatan sehingga RM604,000 setahun dari 90 buah Kem ATM dalam Malaysia yang disasarkan pencapaiannya pada 2028.

“Buat masa ini, kita mulakan dengan 22 kem yang akan menghasilkan lebih kurang dua tan setahun, kalau kita buat di seluruh 90 kem tentera, ia boleh menghasilkan lebih kurang hampir sembilan tan setahun dan menjana pendapatan hingga mencecah kira-kira RM604,000 setahun,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke MK PMBTD di Kem Perdana Sungai Besi di sini.
Manakala, Projek Spice Garden, yang melibatkan penanaman tumbuhan herba seperti pandan, serai dan ulam raja; sayuran dan cendawan melibatkan dana berjumlah RM15,000 dengan penglibatan dan manfaat yang sama diterima BAKAT Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD).
Mohamed Khaled berkata, anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Plantations Berhad telah menanggung separuh daripada kos pembinaan rumah kelulut manakala selebihnya oleh kerajaan.

Katanya, Boustead Plantations juga akan membeli hasil tuaian projek tersebut untuk diproses kepada produk nilai tambah, sekali gus memberi pulangan kepada warga ATM.
Ujar beliau, projek ini juga mendapat kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia bagi penyelidikan terhadap industri madu kelulut.
Mohamed Khaled menambah, apabila keseluruhan ekosistem sudah tersedia, projek ini akan dilaksanakan di seluruh kem.
Menurutnya, projek madu kelulut boleh membawa pulangan lumayan bukan sahaja kepada keluarga anggota tentera, bahkan kepada kerajaan sekurang-kurangnya dalam tempoh 30 bulan.
“Pulangan daripada projek madu kelulut ini dalam masa dua tahun setengah, pulangan pendapatan itu kita lebih untuk membantu anggota BAKAT TD sendiri, kita pulangkan balik keuntungan kepada masyarakat,” katanya lagi.
Buat masa ini, Kem Mahkota, Kluang bakal menjadi lokasi terawal mengeluarkan hasil dan memberi pulangan.
Melalui kedua-dua projek ini, BAKAT PMBTD berpotensi menjana pendapatan tambahan dengan menghasilkan pasaran madu asli, sayuran dan cendawan untuk dipasarkan secara meluas melalui penghasilan produk makanan berkhasiat dan mempunyai nilai komersial akan menyumbang kepada ekonomi negara.
Antara lain, projek ini bertujuan menjana ekonomi keluarga dan menarik minat ahli BAKAT untuk terus konsisten dan berjaya pada masa akan datang melalui bantuan penuh pasukan dalam mengusahakan keperluan-keperluan asas.
Mohamed Khaled optimis Program Ekonomi MADANI ini telah membuka peluang kepada warga ATM untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi dan ia merupakan satu usaha kepada sumbangan keterjaminan makanan. – MalaysiaGazette
















