Istana Kehakiman, Putrajaya

PUTRAJAYA – Seorang penganggur kekal dipenjara tujuh tahun selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan akhirnya terhadap hukuman kerana menetak bekas Ketua Polis Daerah Besut hingga putus jari kanan, enam tahun lalu.

Mohd. Nasli Mohd. Nasir, 39, didapati bersalah menetak Asisten Komisioner Mohd. Zamri Mohd. Rowi (ketika itu berpangkat Superintendan) yang juga jirannya kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pegawai polis itu menanam pokok kelapa di hadapannya rumahnya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Che Mohd. Ruzima Ghazali berpuas hati, perayu tidak berjaya membuktikan pembelaan bahawa dia mengalami skizofrenia (gangguan mental) ketika kejadian berlaku.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Mohamed Zaini Mazlan berpendapat, perayu waras ketika menetak mangsa menggunakan parang.

“Pembelaan tidak waras menurut Seksyen 84 Kanun Keseksaan adalah pembelaan mutlak yang mana jika berjaya dibuktikan,  maka tertuduh terlepas daripada tanggungjawab atas perbuatan yang dilakukannya.

“Perayu tidak mencapai tahap di bawah Seksyen 84 dan didapati waras ketika mencederakan mangsa,” ujar Hakim Azman dalam penghakiman bertulisnya.

Sehubungan itu, koram berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabit dan menghukumnya atas kesalahan tersebut.

Mohd. Nasli disabit mencederakan Mohd. Zamri dengan cara menetaknya menggunakan sebilah parang yang menyebabkan kecederaan parah hingga ibu jari kanannya putus.

Dia melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Taman Cordoba Residence, Padang Luas, Jerteh, Besut, Terengganu pukul 12.30 tengah hari, 15 Ogos 2019.

Lelaki tersebut didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Dalam penghakiman bertulis bertarikh 5 Ogos lalu, Hakim Azman berkata, panel itu telah mempertimbang semua faktor secara memuaskan sebelum menetapkan hukuman ke atas perayu.

“Hukuman adalah sesuai dan tidak melampau. Kami tiada sebab untuk mengusik keputusan yang telah dicapai oleh mahkamah rendah.

“Hakim bicara tidak terkhilaf dan telah mempertimbang kepentingan perayu dan keadaan mentalnya serta kepentingan awam,” ujar beliau dalam penghakiman setebal tujuh muka surat yang diperoleh oleh pihak media melalui laman web mahkamah hari ini.

Mengikut keterangan kes, pada hari kejadian, Mohd Zamri tiba di rumah dan mendapati pokok kelapa yang ditanam di tepi jalan di hadapan kediamannya telah dicabut orang dan pokok itu dibuang di halaman rumah.

Mohd. Nasli kemudian tiba di hadapan rumah pegawai polis itu dengan menaiki kenderaan lalu mempertikaikan penanaman pokok kelapa tersebut serta mengarahkan mangsa untuk mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.

Mohd Nasli memarahi Mohd. Zamri dan selanjutnya keluar dari kenderaan lalu mengejar mangsa sambil membawa parang.

Pegawai polis itu ditetak kepalanya dari arah belakang lalu  terkena tangannya yang sedang menahan luka di kepala akibat tetakan kali pertama. Perbuatan itu menyebabkan jari kanannya putus.

Mohd. Nasli diwakili peguam Datuk Mohd. Yazid Mustafa manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast