Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), S.P. Punithan.

KUALA LUMPUR – Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencalonkan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-11 selari dengan prinsip konsensus, kebebasan dan autonomi setiap parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

Malah Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan berkata, parti komponen PN lain termasuk MIPP, Pas dan Gerakan juga boleh dan berhak menamakan calon PM daripada parti masing-masing.

Namun hakikat yang tidak boleh dinafikan adalah Muhyiddin merupakan tokoh paling senior selaku Pengerusi PN selain merupakan bekas Perdana Menteri yang mempunyai pengalaman luas serta rekod kepimpinan yang terbukti sewaktu mengemudi negara dalam tempoh krisis.

Malah populariti serta kredibiliti Muhyiddin merupakan faktor penting yang tidak boleh diketepikan dalam memilih calon Perdana Menteri seterusnya.

“Beliau seorang yang tegas, fokus dan berprinsip, prihatin terhadap pembangunan semua kaum, satu sifat yang amat penting sebagai pemimpin utama mengemudi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 meluluskan usul menyokong dan mencadangkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 daripada parti itu.

Bagaimanapun, cadangan itu menimbulkan rasa kurang senang dan dipersoalkan beberapa pihak termasuk oleh pemimpin Pas sendiri yang menyifatkan masih terlalu awal untuk menamakan calon Perdana Menteri dalam kalangan parti komponen PN.

Tambah Punithan, setakat ini, Muhyiddin merupakan satu-satunya pemimpin yang dikemukakan sebagai calon rasmi Perdana Menteri Ke-11 daripada PN.

Bagi pihak MIPP, ujarnya, sama ada mahu menyokong atau sebaliknya pencalonan Muhyiddin itu akan diputuskan dalam perhimpunan agung tahunan parti itu kelak.

“Apa yang jelas, MIPP tidak menuntut jawatan Perdana Menteri tetapi itu tidak bermaksud kami tidak akan menyokong atau memilih calon yang kami rasakan paling layak sebagai calon Perdana Menteri ke-11.

“Kami juga mahu berbincang tentang kedudukan MIPP di dalam kerajaan yang bakal dibentuk kerana mahu memainkan peranan yang lebih luas mewakili masyarakat India dan perkara itu tidak akan dikompromi,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast