BUTTERWORTH – Cubaan menyeludup masuk lima kontena berisi skrap kuprum bernilai RM5.29 juta dari Thailand dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang dalam operasi di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini.
Pengarah JKDM Pulau Pinang, Datuk Rohaizad Ali berkata, pemeriksaan pada 22 Julai itu membawa kepada penemuan lebih 125 tan skrap kuprum.
“Lima kontena tersebut pada mulanya diikrarkan sebagai komponen elektronik terpakai sebelum pemeriksaan lanjut membongkar kandungan sebenar.
“Susulan itu, kita menahan tiga individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 40 hingga 60 tahun yang merupakan pemilik syarikat serta ejen pelabuhan,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini, hari ini.
Tambah Rohaizad, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barangan tidak berkastam atau larangan import. – MalaysiaGazette
















