KOTA TINGGI – Polis membuka kertas siasatan berhubung video tular memaparkan dua kanak-kanak menjenguk keluar dari tingkap kereta dinaikinya yang melalui Jalan Kota Tinggi berdekatan Muzium Kota Tinggi kelmarin.
Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi terkesan dengan video tersebut antara pukul 1.50 hingga 2 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, video berkenaan memaparkan aksi bahaya kanak-kanak tersebut yang sedang menaiki kereta Perodua Bezza warna hitam.
“Polis ambil maklum dengan hantaran tersebut dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Tinggi telah membuka kertas siasatan bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu ujarnya, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Zakaria Ab Wahab 012-9751290.
Tambahnya, boleh juga datang ke mana-mana balai polis berhampiran atau melalui hotline IPD Kota Tinggi 07-8831222.- MalaysiaGazette
















