NEW YORK – Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS), Nasa, mengesahkan telah menyekat warganegara China yang memiliki visa sah AS daripada memasuki kemudahannya.
Ia merupakan satu langkah yang secara efektif menghalang mereka daripada bekerja di salah satu pusat penyelidikan angkasa lepas paling berprestij.
Warga China, yang hanya boleh bekerja di NASA sebagai kontraktor atau pelajar penyelidikan sebelum ini mendapati pada 5 September mereka telah hilang semua akses kepada sistem dan kemudahan.
NASA berkata, warganegara China akan dihalang daripada menggunakan “kemudahan, bahan dan rangkaian” agensi tersebut bagi memastikan keselamatan kerja mereka.
Program angkasa lepas China yang berkembang pesat telah menimbulkan kebimbangan kepada AS dan meningkatkan persaingan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.
Angkasawan China sudah pun dikecualikan daripada Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) kerana Washington telah melarang Nasa daripada berkongsi datanya dengan China.
Sekatan terbaru Nasa ini hanya menambah lagi kemerosotan dalam kerjasama saintifik antara kedua-dua pihak kerana isu keselamatan negara.
Ketika kedua-dua negara bersaing untuk mendapatkan kelebihan teknologi, Beijing dan Washington semakin curiga antara satu sama lain.
Kecurigaan ini telah menyukarkan sesetengah pelajar China, terutamanya yang belajar dalam bidang sains dan teknologi, untuk mendapatkan visa, bahkan memasuki AS selepas memperoleh visa.
Tidak jelas berapa lama notis yang diberikan Nasa kepada warganegara China yang sedang bekerja dengan agensi tersebut.
Media melaporkan, warga China yang hanya boleh bekerja di NASA sebagai kontraktor atau pelajar penyelidikan sebelum ini telah hilang semua akses kepada sistem dan kemudahan NASA pada 5 September lalu termasuk dihalang menyertai mesyuarat berkaitan kerja mereka – sama ada secara bersemuka atau maya.
Setiausaha akhbar Nasa, Bethany Stevens, memberitahu media, NASA memang telah mengambil “tindakan dalaman berkaitan warganegara China termasuk mengehadkan akses fizikal dan keselamatan siber kepada kemudahan kami.
China tidak menyembunyikan cita-cita angkasa lepasnya apabila Beijing dan Washington bersaing untuk menghantar kru mereka ke bulan.
“Kita kini berada dalam perlumbaan angkasa lepas kedua,” kata pentadbir sementara NASA, Sean Duffy, kepada wartawan dalam satu sidang media pada Rabu di mana beliau bercakap mengenai penemuan AS di Marikh.
“China mahu kembali ke bulan sebelum kita. Itu tidak akan berlaku”. – Agensi
















