KUALA LUMPUR – Bendahari Keadilan Gombak, Datuk Zainol Abidin Mohamed melahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan sikap pembangkang yang didakwa terlalu ghairah menghentam kerajaan berhubung isu Kampung Sungai Baru.
Namun pada masa sama golongan itu berdiam diri terhadap insiden keganasan yang mencederakan anggota keselamatan.
Zainol berkata, pembangkang sepatutnya menegaskan pendirian menolak keganasan, bukannya membiarkan insiden itu seolah-olah perkara kecil sambil hanya sibuk menyerang kerajaan.
“Apabila seorang anggota keselamatan cedera, sepatutnya semua pihak tampil mengecam terutamanya ketika anggota itu sedang menjalankan tanggungjawab.
”Tetapi malangnya, pembangkang memilih untuk berdiam diri daripada menyentuh pelaku sebaliknya lebih ghairah menghentam kerajaan. Ini sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi pemotongan bekalan elektrik di beberapa rumah semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dilaporkan cedera di kepala dipercayai terkena balingan batu.
Kekecohan yang berlaku turut menyebabkan seorang penduduk terseliuh tangan dalam insiden tolak-menolak manakala beberapa individu telah ditahan oleh pihak berkuasa.
Beliau menegaskan, kerajaan sentiasa bersikap terbuka terhadap kritikan dan teguran yang membina dalam pelbagai isu, malah budaya demokratik yang sihat ini terus segar di bawah pentadbiran kerajaan Madani diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pihak berkuasa memberi ruang dan kemudahan agar sebarang bantahan mahupun kritikan dapat disuarakan secara baik, beradab dan tidak bertentangan dengan prinsip Perlembagaan serta undang-undang.
“Tetapi apabila wujud unsur keganasan sehingga mencederakan anggota keselamatan, itu bukan lagi demokrasi, sebaliknya satu perbuatan yang wajib dikecam,” ujarnya.
Zainol turut menyeru semua pihak yang cintakan keamanan untuk menolak budaya ekstrem dan memastikan perbezaan politik tidak dijadikan alasan membenarkan keganasan. -MalaysiaGazette
Pembangkang gesa kebajikan penduduk Kampung Sungai Baru diutamakan
















