KOTA TINGGI – Seorang pekerja syarikat konsensi didenda RM2,500 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan pilihan membantu mengalihkan wang melalui akaunnya secara tidak jujur, awal tahun ini.
Tertuduh, Nor Zainal Selamat, 47, mengaku bersalah bagi pertuduhan pilihan selepas pertuduhan utama dan pilihan itu dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.
Berdasarkan kertas pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa secara tidak jujur menolong mengalihkan harta milik seorang lelaki berjumlah RM8,164.06 ke dalam akaun miliknya di sebuah bank cawangan di Mersing, antara pukul 4.32 petang hingga 5.15 petang, 17 Februari lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh didakwa bagi pertuduhan utama iaitu secara tidak langsung terlibat dalam transaksi kemasukan wang itu ke dalam akuan miliknya dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, satu representasi dikemukakan untuk tertuduh didakwa bagi pertuduhan pilihan dan ia dibenarkan.
Peguam Mohd Razak Sharif yang mewakili tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa ini adalah kesalahan pertama anak guamnya dan pengakuan bersalah telah dibuat di peringkat awal.
“Tertuduh adalah pekerja am yang mengutip sampah di sebuah syarikat dan menanggung isteri serta dua anak selain ibunya yang juga orang kurang upaya (OKU) mental berusia 90 tahun.
“Tertuduh menyesal dan insaf atas kesalahan dilakukan serta akan lebih berhati-hati selepas ini. Mohon hukuman denda yang ringan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Mahkmah kemudian menjatuhkan hukuman denda itu dan turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Menurut fakta kes, pengadu memberitahu pada 15 Februari lalu, dia telah melihat iklan pelaburan di aplikasi Facebook sebelum berhubung dengan satu nama wanita di WhatsApp.
Difahamkan, dua hari kemudian, penama wanita itu meminta pengadu memasukkan wang yang berjumlah RM8,164.06 ke dalam sebuah akaun atas nama tertuduh.
Pengadu kemudian didesak untuk menambah lagi jumlah pelaburan sebelum rasa dirinya tertipu dan kemudian membuat laporan polis.
Pada 22 April lalu, tertuduh ditahan polis dan siasatan mendapati ada dua transaksi dibuat ke dalam akaunnya berjumlah RM8,164.06 yang mana maklumat perbankan tertuduh dikatakan telah diberikan kepada individu tidak dikenali.
Tertuduh didapati telah menyerahkan maklumat perbankannya bagi membantu satu penipuan dalam talian.- MalaysiaGazette
















