KUALA LUMPUR – Dengan membentuk pakatan longgar, Pas tidak menjejaskan kedudukan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi Urimai, P. Ramasamy berkata, pembentukan pakatan longgar pembangkang di luar kerangka rasmi pembangkang sedia ada sebenarnya bertujuan memperkukuhkan suara penentangan terhadap pelbagai masalah yang dihadapi rakyat di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kenyataan Ketua Dewan Ulamak Pas, Ahmad Yahya ada benarnya apabila beliau menyatakan bahawa Pas sebagai anggota gabungan PN berhak membuat keputusan strategik untuk memperkukuhkan pembangkang terhadap kerajaan pimpinan PH pada masa ini,” katanya dalam kenyataan.
Dalam konteks itulah Pas menyertai gabungan tidak rasmi yang dipengerusikan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kehadiran 11 parti termasuk Urimai dan MAP yang dipimpin oleh tokoh kontroversi sepertinya dan P. Waytha Moorthy mencerminkan pragmatisme Pas dalam mengutamakan kepentingan lebih besar rakyat Malaysia.
Menurut Ramasamy, hakikatnya Pas mampu membentuk pakatan longgar dengan pemimpin yang dahulunya lantang mengkritik parti itu menyerlahkan kedudukan nasionalnya serta keupayaannya membayangkan masa depan politik yang lebih inklusif dan progresif.
“Sama seperti Pas dikritik kerana bekerjasama dengan Ramasamy dan Waytha Moorthy, masyarakat India dan Cina turut mempersoalkan Urimai dan MAP kerana menjalin kerjasama dengan Pas, sebuah parti yang sering dikaitkan dengan agenda agama yang keras.
“Namun, persepsi bahawa Pas tidak menghormati sifat majmuk agama di Malaysia semakin lama semakin terhakis apabila parti itu mengambil langkah berhati-hati untuk menerima kepelbagaian,” katanya.
Tentangan terhadap Pas, Urimai dan MAP sebahagiannya berpunca daripada kebimbangan bahawa pakatan longgar mereka boleh mengukuhkan pembangkang PN dan melemahkan kerajaan Madani, katanya.
Malah usaha untuk mengapi-apikan perpecahan antara Pas dengan parti-parti berasaskan India seperti Urimai dan MAP kelihatan sebagai projek politik yang disengajakan oleh pentadbiran Madani.
Lebih penting lagi, persahabatan dan keakraban baharu antara Pas dengan parti-parti ini mencabar konsep kepelbagaian kaum secara dangkal yang ditonjolkan oleh kerajaan pimpinan PH.
“Walaupun Urimai dan MAP belum menjadi anggota rasmi blok pembangkang, kedua-duanya terus berfungsi dalam pakatan longgar yang lebih besar, yang pada masa ini kelihatan sebagai strategi pilihan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















