Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden bersama Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad hadir pada Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia ke-65 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 SEPTEMBER 2025

ALOR SETAR – Peranan sayap Muslimat Pas menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) semakin besar dan tidak boleh dinafikan sebagai penggerak utama dalam menentukan kemenangan parti itu.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary berkata, statistik menunjukkan sebanyak 50.17 peratus daripada pengundi berdaftar merupakan golongan wanita, iaitu angka yang lebih dominan berbanding lelaki.

Menurutnya, Muslimat Pas memegang kunci perubahan dan memikul amanah besar untuk menggerakkan kesedaran serta membangkitkan gelombang.

“Muslimat Pas sedang menyediakan wadah yang menjadi tempat berteduh bagi wanita Malaysia, tempat di mana suara mereka bergema, hak mereka dipelihara, dan maruah mereka dipertahankan.

“Sepanjang zaman, Muslimat Pas dikenali dengan itqan (tekun) dalam kerja dan ikhlas dalam perjuangan.

“Mereka bekerja bukan kerana kedudukan, bukan kerana nama, tetapi kerana cinta kepada agama dan kerinduan kepada reda Tuhan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Terdahulu, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa turut dijemput meraikan Muktamar Muslimat Pas kali ke-65 di Kompleks Pas Kedah, di sini semalam.

Tambah beliau, Muslimat Pas juga akan terus dikenali dengan susun atur lajnah yang kemas, gerak kerja yang mantap serta signifikan.

Ujarnya, keberadaan sayap muda Muslimat Pas iaitu Ameerah pula akan mengisi ruang politik pengundi muda wanita di negeri ini, sekali gus melahirkan kesinambungan pemimpin wanita Pas.

“Lebih daripada itu, Muslimat muda tampil berani, menguasai teknologi maklumat, media baharu, serta kecerdasan buatan.

“Generasi Z yang mendominasi gelanggang masa depan sedang dipandu dengan silibus tarbiah yang mantap dan bimbingan penuh kesabaran, menjadikan mereka bukan sahaja pewaris, malah penggerak utama dakwah dan politik tanah air,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast