KUALA LUMPUR – Dua individu cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Pesisir Pantai di Bekenu, Sarawak tengah hari tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.51 tenga hari.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah digerakkan ke lokasi kejadian, kira-kira 23 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba didapati dua mangsa iaitu lelaki berusia 38 tahun dan seorang remaja perempuan 17 tahun tersepit di bahagian hadapan kereta dan mengalami kecederaan.
“Pemandu lori pula tidak cedera,” katanya dalam kenyataan.
Pasukan bomba diketuai PBK II Azizul Rahman menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu hadapan kenderaan bagi mengeluarkan mangsa, sebelum kedua-duanya diserahkan kepada ambulans Klinik Kesihatan Batu Niah untuk rawatan lanjut. – MalaysiaGazette
















