Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Kerajaan memandang serius insiden emel ugutan berunsur video lucah palsu berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang diterima beberapa wakil rakyat termasuk dirinya, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, emel berkenaan menuntut bayaran USD100,000 dan disertakan dengan tangkap layar video palsu. 

Hasil semakan mendapati mesej ugutan itu menggunakan kandungan serupa serta dihantar daripada alamat emel yang sama.

Antara yang menerima ugutan itu ialah Datuk Seri Rafizi Ramli (Ahli Parlimen Pandan), Wong Chen (Ahli Parlimen Subang), Dr. Taufiq Johari (Ahli Parlimen Sungai Petani), Adam Adli (Timbalan Menteri Belia dan Sukan), Najwan Halimi (Exco Selangor), Senator Manolan Mohamad, Wong Chia Zen (ADUN Kulim) dan Dr. Fahmi Ngah (Exco Selangor).

“Saya telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjejak penjenayah yang menggunakan aplikasi Gmail untuk menghantar emel ugutan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan menghantar komunikasi jelik dengan niat mengugut adalah kesalahan serius di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 503 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman penjara hingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.

“Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan teknologi untuk mengugut atau memperdaya rakyat. Penjenayah mesti dibawa ke muka pengadilan demi menjamin keselamatan masyarakat,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast