Tangkap layar majlis perkahwinan Fattah Amin dan Amira Othman. Sumber : FB Unifi

KUALA LUMPUR – Pelakon popular, Fattah Amin sah bergelar suami kepada penyanyi dan pelakon, Amira Othman dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung di sebuah resort, di Sepang, malam ini.

Majlis akad nikah yang disempurnakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri itu turut disiarkan secara langsung menerusi aplikasi dan Facebook, Unifi TV.

Pada majlis pernikahan yang diadakan sempena ulang tahun kelahiran Fattah, pelakon itu menyerahkan mas kahwin seutas gelang emas tunai bersama lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan.

Turut mencuri perhatian adalah keletah anak perempuan Fattah, Nur Fatima Aisya yang berusia hampir lima tahun dan turut berada di pelamin ketika upacara membatalkan air sembahyang dan menyarung cincin.

Pasangan pengantin tampil anggun dalam persalinan serba putih dengan Fattah menggayakan rekaan busana Rizman Ruzaini manakala Amira memilih rekaan pereka ternama, Teh Firdaus.

Fattah pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon popular Fazura pada 2017 namun bercerai talak satu pada 7 Oktober tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast