Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran . Foto HARI ANGGARA

 

KUALA LUMPUR – Proses temu duga kemasukan ke universiti menjadi antara proses penting untuk menyaring semua calon yang memohon bukan bertujuan mendiskriminasi pelajar, sebaliknya bagi memastikan hanya calon terbaik dipilih.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, jumlah pemohon dengan kelayakan akademik minimum meningkat saban tahun sehingga melebihi kuota ditetapkan universiti.

Sebagai contoh, katanya, ada program hanya menawarkan 100 tempat tetapi menerima ribuan permohonan daripada calon cemerlang.

“Jadi, temu duga menjadi kaedah tambahan terbaik dilaksanakan bagi menapis calon terbaik kerana proses itu menilai aspek lain seperti komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah.

“Akademik ialah syarat asas untuk disenarai pendek, namun kejayaan dalam temu duga akan menentukan kemasukan ke universiti,” katanya selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Politeknik Sandakan, Sabah,” katanya yang mengulas isu persaingan kemasukan ke universiti yang kini semakin sengit.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, kini ramai pemohon dengan keputusan akademik yang cemerlang, menjadikan proses pemilihan pelajar semakin sukar.

Katanya, jika semua calon memperoleh A, maka universiti perlu mencari penanda aras lain untuk menentukan siapa yang benar-benar layak, justeru, aspek tambahan seperti temu duga, ujian khas dan penulisan pernyataan tujuan menjadi faktor penentu.

“Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) bukanlah satu-satunya ukuran kerana universiti berhasrat melahirkan graduan yang seimbang, bukan sahaja unggul dalam akademik, tetapi juga memiliki kepimpinan, kemahiran berkomunikasi, pemikiran kritis, ketahanan mental serta kebolehan berinteraksi dengan baik.

“Oleh itu, kaedah pemilihan yang lebih menyeluruh perlu dilaksanakan supaya graduan yang dihasilkan benar-benar memenuhi keperluan semasa selepas bergraduat nanti,” katanya.

Beliau menegaskan, masyarakat perlu memahami tujuan temu duga adalah untuk memilih yang terbaik, sama seperti proses pengambilan pekerja.

“Di MQA, kami sudah menyediakan standard program dengan syarat minimum untuk kelayakan pelajar masuk ke universiti, justeru terpulang kepada universiti dalam membuat saringan bagi mendapatkan pelajar terbaik dalam kalangan yang cemerlang.

“Inisiatif ini bertujuan untuk mendapatkan bakat terbaik di negara ini sekali gus menyokong hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast