ALOR SETAR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin secara peribadi berharap logo gabungan parti itu akan menjadi logo tunggal bagi calon mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Menurut beliau, ia mengambil kira penjimatan kos selain memudahkan dari segi urusan logistik serta untuk mengelak kemungkinan masalah yang timbul sekiranya beberapa logo berbeza digunakan oleh calon PN.
Bagaimanapun, ujarnya, perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan dan keputusan muktamad mengenainya akan ditentukan menerusi mesyuarat tertinggi PN.
“Hajat kita kalau boleh seluruh calon kita yang bertanding di semua negeri sama ada di SG4 (Kelantan; Terengganu; Kedah dan Perlis) gunakan logo sama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Muktamar Pas Pusat kali ke-71 di Markas Pas di sini, hari ini.
Muhyiddin juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditanya berkenaan logo yang akan digunakan PN pada pilihan raya negeri (PRN) dan PRU-16 akan datang.
Sementara itu, Muhyiddin menyifatkan isu penggunaan logo pada PRN dan PRU-16 tersebut tidak akan menimbulkan masalah sama seperti pada pilihan-pillihan raya sebelum ini.
“Kita sudah ada gabungan parti di Kedah yang pakai logo PN, begitu juga di Perlis yang tidak ada apa-apa masalah sebelum ini.
“Pas yang ketika itu (PRU-15) berhajat untuk kekal menggunakan logo mereka di Kelantan dan Terengganu pun kita setuju.
“Cuma hajat saya pilihan raya akan datang semua guna logo yang sama, tapi terserah kepada pucuk pimpinan apa keputusan yang akan dibuat,” katanya. – MalaysiaGazette
















