JOHOR BAHRU – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad melontarkan persoalan sama ada Naib Presiden Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memerli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika berucap dalam Muktamar Pas hari ini.
Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pulai itu berkata, ini kerana ucapan Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah seakan melihat Bersatu sebagai parti politik lemah dan bergantung dengan Pas.
“Adakah Sanusi sedang memerli Bersatu? Bersatu parti yang lemah di mata Pas? Maknanya tanpa Bersatu, Pas tiada masalah untuk jalan solo.
“Sekarang ini Pas tak perlukan Bersatu sebaliknya Bersatu yang memerlukan Pas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sanusi ketika berucap dalam Muktamar Pas hari ini secara bersahaja menegur parti komponen Perikatan Nasional (PN) kerana dianggap banyak bergantung kepada jentera parti dan kewangan Pas untuk bertanding dalam pilihan raya.
Dalam ucapan penggulungannya juga sebagai pengarah pilihan raya, Sanusi berkata, ada parti yang mai (datang) bertanding syok saja dan dibantu oleh Pas.
Mengaitkan keadaan itu dengan sasaran memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang, Sanusi berkata, parti terbabit kemudian dilihat mahu menjadi ‘ketua’ namun gagal menyedari realiti kekurangan yang dialami oleh mereka.
“Kita menghadapi rakan-rakan (dalam PN) yang bergantung kepada peralatan yang kita bayar. Di sini (Kedah), saya fikir di tempat lain sama juga.
“Satu cawangan kita minta RM120,000 untuk satu UPU (unit peti undi). Sebelum ni semua peralatan itu kita bayar, depa mai bertanding syok aja. Habis tu nak jadi ketua? Duit tak dak, jentera tak dak, (harap) kita (Pas) semua,” ujar Sanusi.
Mengulas lanjut, Faezuddin berkata, istilah pakatan longgar merujuk kepada kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkenaan kerjasama politik antara parti pembangkang dalam menghadapi pilihan raya, benar-benar terjadi.
“Nampaknya benar-benar menjadi istilah ‘pakatan longgar’ oleh Muhyiddin. Sangat longgar kerana sejak akhir ini mereka sering tidak sependapat khususnya mengenai siapa yang layak menjadi Perdana Menteri sekiranya PN berjaya memenangi PRU-16,” katanya.
Menurutnya, Bersatu cadang Muhyiddin. menjadi Perdana Menteri manakala Pas pula tidak setuju sebaliknya menamakan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon Perdana Menteri.
Bukan itu sahaja katanya, Mursyidul Am Pas juga sudah menegaskan Pas adalah parti yang layak pimpin PN.
“Ulasan Haji Hadi pula dilihat tidak memihak kepada Muhyiddin apabila mencadangkan PM mesti syaratnya kuat dan berumur bawah 70 tahun sedangkan Muhyiddin berumur 78 tahun,” ujarnya.
Kesimpulannya kata beliau, menerusi kaca mata rakyat, PN sekarang ini dilihat sebagai pakatan yang suka bertelagah sesama sendiri dan banyak masalah sekali gus tidak layak diangkat menjadi pemerintah.
“Pakatan longgar yang tidak stabil dan gagal bawa aspirasi rakyat. Bayangkan, calon PM dan siapa patut jadi ketua pun mereka tidak boleh sependapat, apa lagi nak diharapkan perkara lain,” katanya.- MalaysiaGazette
















