Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Foto: MUHAIMIN MARWAN, 15 SEPTEMBER 2025.

ALOR SETAR – Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat baharu akan membincangkan usul supaya parti itu menerajui Perikatan Nasional (PN) serta calon Perdana Menteri ke-11 daripada parti  tersebut seperti yang diluluskan pada Muktamar Pas Pusat kali ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, usul itu sudah dianggap sebagai muktamad memandangkan diluluskan pada muktamar Pas yang merupakan platform tertinggi parti.

Menurut beliau, antara yang akan dibincangkan dalam kalangan AJK Pas Pusat baharu termasuk bagaimana mekanisme untuk membawa usul itu kepada Majlis Tertinggi PN.

“Pas hanya menyatakan ciri-ciri seorang yang layak untuk menjadi Perdana Menteri. Kalau ada dalam kalangan pemimpin Pas yang mempunyai cir-ciri seperti ditentukan Presiden Pas itu, maka kita mungkin kita boleh tawarkan sebagai calon Perdana Menteri kita kepada PN.

“Pendekatan Presiden Pas ini adalah untuk berdepan PRU-16 untuk kita menang semaksimum mungkin kerusi, sebab tanpa kerusi, tidak guna kita bercakap mengenai calon Perdana Menteri, itu pendirian Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berakhirnya Muktamar Pas Pusat kali ke-71 di Markas Pas Kedah, di sini, hari ini.

Sementara itu, berhubung kesediaan Pas menerajui PN, Takiyuddin menjelaskan, parti itu sebelum ini pernah beberapa kali ditawarkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk berbuat demikian.

Namun, jelasnya, ketika itu, Pas beranggapan Muhyiddin lebih sesuai untuk menerajui PN selaku tokoh politik yang lebih berpengalaman termasuk sebagai bekas Perdana Menteri.

“Tetapi sekarang ini kita sudah bersedia, jika diminta (terajui PN), maka kita bersedia,” katanya.

Tambah beliau, kesediaan Pas untuk menerajui PN juga memandangkan parti itu bakal memasuki usia 75 tahun pada tahun depan selain memiliki paling banyak kerusi Parlimen (43) serta mentadbir di empat buah negeri.

“Jadi kita rasa kita boleh (terajui PN) dengan kemampuan yang kita ada,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast