Gambar hiasan

SINGAPURA – Seorang lelaki Malaysia ditahan selepas pihak berkuasa di Linkedua Tuas menggagalkan cubaan menyeludup lebih 18,400 rokok elektronik (vap) dan 1,400 komponen berkaitan ke Singapura dengan sebuah lori pada Isnin.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata rampasan itu merupakan yang terbesar melibatkan penyeludupan vap di pusat pemeriksaan darat Singapura sejak hukuman lebih berat dikuatkuasakan pada 1 Sept lepas.

“Barang rampasan dan suspek telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Sains Kesihatan untuk siasatan lanjut,” kata ICA dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Agensi itu memaklumkan lori berdaftar di Malaysia berkenaan telah dikesan oleh Pusat Penyasaran Bersepadu ICA melalui penilaian risiko sebelum ketibaan dan diarahkan menjalani pemeriksaan ketat.

Hasil pemeriksaan, pegawai menemukan barangan terlarang itu yang disembunyikan dalam lori terbabit yang diisytiharkan membawa “komponen untuk bidai luaran bermotor”.

Pada Ogos lepas, ICA memaklumkan pemeriksaan di pusat pemeriksaan udara, darat dan laut telah diperketat bagi mengesan dan menghalang cubaan penyeludupan vap, sebagai sebahagian daripada usaha bersepadu seluruh kerajaan membasmi produk terbabit.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast