Kastam rampas lebih 40.2 tan sisa pepejal perbandaran dari Amerika Syarikat (AS) yang dibawa masuk melalui Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) pada 23 Ogos lalu.

BUTTERWORTH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan membawa masuk lebih 40.2 tan sisa pepejal perbandaran dari Amerika Syarikat (AS) selepas memeriksa dua kontena di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) pada 23 Ogos lalu.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Datuk Rohaizad Ali berkata, pemeriksaan tersebut membawa kepada penemuan campuran buangan seperti plastik, kayu, getah, logam, batu dan pelbagai bahan lain yang diklasifikasikan sebagai barang larangan import di bawah Akta Kastam 1967.

Beliau menjelaskan, dagangan itu diikrarkan dengan salah sebagai serpihan aluminium bagi mengelak daripada mendapatkan kelulusan permit (AP).

“Pemeriksaan lanjut mendapati kontena berkenaan diimport sebuah syarikat tempatan dan proses pemeriksaan turut disaksikan wakil syarikat berkenaan.

“Kita sedang menyiasat dua lelaki berusia 40-an dan 50-an yang merupakan pemilik dagangan tersebut,” katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan Negeri di sini, hari ini.

Tambah beliau, sisa pepejal perbandaran yang cuba diimport dikategorikan sebagai barang larangan import mengikut Item 36, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast