GEORGE TOWN – Laluan utama ke kawasan pelancongan Batu Feringghi, di sini, sesak akibat pokok tumbang serta tanah menggelongsor hampir lima meter hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, KV. Kartikh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.01 pagi sebelum tujuh anggota digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, kita mendapati pokok Palma berdiameter satu meter tumbang dari lereng bukit dan menghempap garisan tepi jalan.
“Selain itu, terdapat juga kesan tanah menggelongsor sejauh lima meter (15 kaki) di bahu jalan,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, insiden ini dipercayai berpunca daripada hujan lebat dan angin kencang yang melanda negeri ini sejak beberapa hari lalu.
“Walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, kawasan ini tetap berisiko kerana ia laluan utama orang ramai ke pantai-pantai terkenal di sini,” katanya.
Mengulas lanjut Kartikh berkata, kerja pembersihan dilakukan menggunakan peralatan khas dan satu aliran hos dari pam jentera bagi memastikan laluan kembali selamat.
“Operasi turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
“Kes diserahkan kepada MBPP dan PDRM untuk tindakan lanjut manakala operasi ditamatkan pada jam 10.35 pagi,” katanya. – MalaysiaGazette
















