Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR – Pas berkongsi ‘kebimbangan serius’ Majlis Media Malaysia (MMM) terhadap Langkah Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (MCMC) mengenakan kompaun sebanyak RM100,000 ke atas masing-masing akhbar Sin Chew dan Sinar berikutan kesilapan yang dilakukan oleh media terbabit sebelum ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, amaun kompaun tersebut adalah melampau dan kelihatan seperti ‘membuli’ media supaya akur kepada garis atau tekanan politik tertentu serta kemahuan kerajaan dengan mewujudkan iklim tapisan kendiri yang berpotensi menghakis peranan bebas media sebagai tonggak keempat demokrasi dan saluran maklumat rakyat.

“Sebagai organisasi media yang sudah lama wujud dan melaporkan perkembangan yang berlaku di negara ini selama berpuluh tahun merentas kerajaan, parti dan pemimpin, kedua-dua Sin Chew dan Sinar tentulah layak dipercayai untuk mengambil tindakan yang sesuai dengan kedudukan masing-masing tanpa perlu dilayan dengan cara yang sangat tidak wajar,” ujarnya dalam kenyataan semalam.

Langkah kedua-dua media berkenaan menarik segera laporan yang tersilap, membetulkannya dan meminta maaf secara terbuka sebaik sahaja ia disedari adalah memadai sesuai dengan kedudukan, jasa dan usia mereka.

Ini kerana dalam dunia penerbitan, langkah-langkah tersebut sudah merupakan satu ‘hukuman’ kerana kesannya ke atas integriti dan kewibawaan media terbabit di mata pembaca.

“Hanya kesalahan sama yang berulang-ulang boleh dianggap sebagai kesalahan serius yang mewajarkan tindakan keras ke tahap langkah yang diambil oleh MCMC ini.

“Dalam pada itu, Pas percaya tindakan dalaman oleh MMM sebagai badan kawal selia industri media negara sudah mencukupi bagi memastikan standard etika kewartawanan,
tanggungjawab, intergiti dan kepatuhan undang-undang dalam kalangan pengamal dan pemain industri,” katanya.

Peranan MMM sebagai tribunal bagi menerima dan menyiasat aduan mengenai media dan laporannya hendaklah dihormati malah diperkukuhkan tanpa campur tangan terus pihak luar sebelum proses dalaman itu berjalan sempurna.

Tindakan sebaliknya akan hanya menafikan status, peranan dan tujuan MMM ditubuhkan sekali gus menjadikannya sia-sia, tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast