GEORGE TOWN – Satu lubang benam yang berlaku di sepanjang Jalan Burmah berhampiran Komtar, di sini hari ini menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar.
Lubang benam berukuran kira-kira 1.5 meter lebar dan 2.5 meter panjang itu, cukup besar untuk merosakkan tayar kereta atau mengakibatkan motosikal terbalik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng berkata kejadian yang berlaku sekitar jam 9 pagi itu dipercayai berpunca daripada paip pembetungan bawah tanah yang pecah.
“Indah Water Konsortium (IWK) telah menghantar kontraktor mereka untuk membaiki kebocoran dan menurap semula jalan,” katanya.

Beliau menambah bahawa pegawai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut berada di lokasi untuk mengawal lalu lintas.
“Bagi mengalihkan trafik, pegawai MBPP ditempatkan di lokasi. Kami jangka kerja pembaikan dapat diselesaikan dalam masa terdekat dan aliran trafik akan kembali normal,” katanya sambil memberi jaminan tiada risiko keselamatan serius dilaporkan.
Teh turut memaklumkan bahawa tindakan pantas pasukan pembaikan telah membantu mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.- MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















