Perjanjian itu ditandatangani antara Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr Mohd Zahari Ismail dan Ketua Eksekutif Kumpulan SG TVET Group Berhad, Datuk P. Sri Ganes.

KUALA LUMPUR – Seramai 1,000 belia yang sedang bekerja dijangka menerima manfaat menerusi Memorandum Perjanjian (MOA) yang dimeterai bagi melaksanakan program latihan kenderaan elektrik (EV) dan hibrid di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang.

Perjanjian itu ditandatangani antara Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr Mohd Zahari Ismail dan Ketua Eksekutif Kumpulan SG TVET Group Berhad, Datuk P. Sri Ganes bagi membangunkan program latihan selaras agenda mobiliti hijau negara.

Di bawah MOA itu, SG TVET Group akan melabur dalam kelengkapan, peralatan serta bahan habis pakai EV dan hibrid, selain menyediakan modul latihan bertaraf antarabangsa termasuk Servis Kereta Elektrik dan Hibrid SKM Tahap Tiga (PPA-PPT) serta pensijilan antarabangsa Institute of Motor Industry (IMI) dari United Kingdom.

PSAS dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) pula menyediakan kemudahan, ruang latihan serta tenaga pengajar bertauliah untuk mengikuti latihan pengajar.

Sri Ganes berkata, pemilihan PSAS dibuat berikutan lokasinya yang strategik dalam Koridor Automotif Malaysia berhampiran Proton City selain pelancaran fasa pertama kilang pemasangan EV Proton di Tanjung Malim yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

“Kita yakin hab ini bakal menjadi pusat kecemerlangan latihan EV serta menyokong peralihan Malaysia ke arah elektrifikasi automotif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain melatih tenaga kerja, SG TVET Group turut melaksanakan program Train the Trainers bagi meningkatkan kemahiran pensyarah PSAS serta memberi pensijilan global kepada jurulatih dan pelatih.

Setakat ini, menerusi Autotronics, SG TVET Group telah melahirkan lebih 3,000 juruteknik EV bertauliah di seluruh negara, sekali gus menyumbang kepada keperluan tenaga kerja sektor EV yang kian berkembang.

Kerjasama di Tanjung Malim ini juga menambah senarai pengembangan SG TVET Group selepas program bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di Perai, Sandakan dan Melaka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast