KUALA LUMPUR – Kerajaan berhak meneliti semula undang-undang berkaitan jenayah rogol bawah umur suka sama suka, yang mana hukuman lebih setimpal perlu dikenakan kepada semua pihak terlibat.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, pelepasan daripada sebarang hukuman tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya membuka ruang kepada perlakuan jenayah lain pada masa hadapan.
Tambahnya, penerapan prinsip keadilan dalam perundangan Islam yang menghukum semua pihak yang bersalah perlu menjadi asas dalam reformasi tersebut.
Jelasnya, ia penting bagi memastikan undang-undang negara tidak hanya berkesan dalam menghukum, bahkan juga dalam mencegah dan mendidik masyarakat agar tidak terlibat dalam jenayah yang jelas bertentangan dengan norma agama dan sosial.
“Usaha ini menandakan satu langkah signifikan dalam pembaharuan undang-undang yang mengutamakan keadilan dan keberkesanan, di samping menggabungkan perspektif undang-undang sivil dan syariah,” katanya menerusi Tinta Mufti Wilayah Persekutuan hari ini.
Menurut Ahmad Fauwaz, pada asasnya penguatkuasaan undang-undang rogol terhadap kaum lelaki yang disabitkan melakukan jenayah tersebut adalah wajar menurut Islam, kerana kedudukan lelaki dalam Islam adalah sebagai pemimpin dan pelindung kepada wanita.
Sehubungan itu, katanya, lelaki memikul tanggungjawab lebih besar dan beban kesalahan lebih berat berbanding dengan wanita, dan pendekatan tersebut menunjukkan agama Islam amat memelihara dan memuliakan kaum wanita.
Namun, jelas beliau, perkara itu bukan bermaksud undang-undang Islam tidak adil yang mana jika wanita didapati bersalah, mereka juga wajib dikenakan hukuman.
Sebagai contoh, ujarnya, jika seorang wanita disabitkan kesalahan berzina, maka dia tetap akan dihukum.
“Dalam konteks rogol bawah umur suka sama suka, walaupun undang-undang sivil memberikan perlindungan kepada mangsa wanita, ia tidak seharusnya melepaskan mereka daripada tanggungjawab moral dan hukuman jika mereka turut menyumbang kepada perlakuan jenayah.
“Hukuman yang adil dan setimpal ke atas kedua-dua pihak yang bersalah akan memberikan pengajaran dan pendidikan yang lebih efektif,” katanya.
Tambah beliau, pelepasan kelompok tertentu daripada sebarang hukuman boleh menggalakkan perlakuan jenayah yang sama pada masa akan datang.
Katanya, ia juga menafikan realiti bahawa dalam banyak kes, kedua-dua pihak terlibat secara sedar dan rela, walaupun salah seorang daripadanya adalah bawah umur.
“Lantaran itu, hukuman terhadap kedua-dua pihak akan menegaskan bahawa jenayah bukanlah isu melibatkan jantina tertentu, tetapi ia adalah isu moral dan perundangan yang melibatkan sesiapa sahaja yang melanggar peraturan serta undang-undang,” katanya.
Bagaimanapun, ujarnya, pihak berkuasa berhak mengenakan tindakan yang lebih keras terhadap lelaki yang berzina dengan perempuan bawah umur secara rela.
Ini kerana, jelas beliau, perempuan di bawah umur masih belum mencapai tahap usia yang matang untuk berfikir dengan sebaiknya, justeru menjadi tanggungjawab bagi pihak lelaki untuk membimbing dan melindungi, bukan merosakkan kaum wanita.
Semalam, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mencadangkan agar perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.
Menurut Mohd Yusoff, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana berdasarkan siasatan, hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di Kelantan adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan. – MalaysiaGazette
















