KUALA LUMPUR – Sekumpulan pensyarah dan pelajar Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini melaksanakan projek komuniti rentas negara berfokuskan latihan pengetahuan, kompetensi dan komunikasi berkaitan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) di tiga buah sekolah di Jakarta, Indonesia.
Program yang berlangsung dari 21 hingga 27 September itu diketuai pensyarah Komunikasi Kelestarian, Prof. Madya Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh bersama 10 pelajar prasiswazah PPK.
Projek itu dijalankan dengan kerjasama bersama pensyarah dan pelajar dari Universitas Mercu Buana (UMB), Jakarta dengan matlamat meningkatkan pengetahuan serta kemahiran komunikasi pelajar sekolah mengenai SDGs.

Menurut Mohamad Saifudin, program itu adalah usaha bersepadu pelbagai pihak untuk memastikan generasi muda mendapat pendedahan bermakna mengenai SDGs serta melatih mereka menjadi pemimpin pendapat yang aktif dalam mengkomunikasikan isu kelestarian melalui media sosial secara berkesan.
Katanya, projek komuniti itu dibangunkan berasaskan modul komunikasi kelestarian yang merangkumi ceramah, sesi perbincangan interaktif serta permainan berkaitan SDGs, bagi menarik minat dan memberikan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan kepada peserta yang selari dengan konsep didik hibur.
“Kita merakamkan penghargaan kepada Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC) dan PPK USM atas sokongan melalui Dana Explore: Mobility Matching Fund (MOMAF) 2025, yang membolehkan projek komuniti ini dilaksanakan di Jakarta.
“Penghargaan juga diberikan kepada rakan strategik, UMB serta Perodua Nasrom (M) Sdn Bhd, atas sumbangan dalam menjayakan inisiatif ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Wakil Rektor 2 Bidang Sumberdaya UMB Prof. Dr. Rizki Briandana menyambut baik penganjuran projek tersebut dan menyifatkannya sebagai usaha positif dalam memperkukuh agenda pendidikan SDGs dalam kalangan pelajar sekolah di Jakarta.
Jelas beliau, hubungan baik antara UMB dan USM telah lama terjalin dan kerjasama itu amat penting bagi memastikan agenda kelestarian dapat diteruskan secara konsisten, daripada peringkat sekolah hingga ke universiti.
“Usaha ini mampu melahirkan generasi muda yang kritis, berdaya saing, dan peka terhadap cabaran global,” katanya.
Dalam pada itu, salah seorang fasilitator, Arhafiz Abd Rahman yang juga pelajar tahun dua PPK USM, turut melahirkan rasa bangga kerana berpeluang menyertai projek komuniti tersebut yang memberi pengalaman pembelajaran baharu di luar Malaysia bersama rakan, pensyarah dan komuniti setempat.

Menurut Arhafiz, ilmu yang dipelajari melalui kursus Komunikasi untuk Kelestarian dalam tahun dua pengajiannya akhirnya dapat dimanfaatkan menerusi projek komuniti bersama pelajar sekolah di Jakarta yang selari dengan fokus USM sebagai universiti lestari terkemuka di Malaysia dan dunia.
“Peluang ini amat berharga buat saya kerana melalui program ini saya dapat mengenali budaya unik di Indonesia, berinteraksi dengan komuniti di sana serta memahami cara mereka bertindak ke arah kelestarian,” katanya.
Dalam masa sama, dia dan rakan-rakan dari PPK USM turut berharap agar program seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meyokong pencapaian agenda SDGs 2030. – MalaysiaGazette
















