Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan kenyataan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berhubung isu kes rogol ‘suka sama suka’ merupakan pendapat peribadi beliau.

Jelasnya, cadangan Mohd Yusoff agar perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang cuma berdasarkan kepada angka dan statistik yang berlaku di negeri berkenaan.

“Itu pendapat dialah. Kekal sebagai pendapat dia dulu. Belum sampai untuk saya bagi komen apa-apa. Datuk Yusof bagi pandangan berasaskan kepada angka-angka yang berlaku di Kelantan,” katanya ketika diminta mengulas isu berkenaan.

Ahad lalu, Mohd Yusoff mencadangkan agar perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana berdasarkan siasatan, hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di negeri ini adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.

Menurut Saifuddin, kenyataan tersebut hanya perlu dilihat sebagai pandangan semata-mata, dan tidak wajar dibesar-besarkan seolah-olah perkara itu sudah menjadi dasar atau pindaan undang-undang negara.

“Bahawa bila perbuatan itu berlaku, ada konsensual. Itu pandangan dia. Dia bagi pandangan. Kalau bagi pandangan sampai bergegar satu negara ni, apa hal?

“Jadi ada kalangan setuju, ada kalangan tak setuju, tapi apakah syor dia itu itu sudah pun dibentangkan dalam Parlimen, sudah dilakukan, libat urus, sudah dibuat pindaan, tak ada akta berkaitan, tak berlaku pun. Jadi biarlah,” jelasnya.

Beliau dalam masa sama turut menyentuh reaksi kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) yang mencabar kenyataan Ketua Polis Kelantan itu secara terbuka.

“Saya tengok Lawyers for Liberty pun cabar. Mesti nyata, tak payahlah. Lawyers for Liberty buat itu cepat.

“Polis kena baling batu, kau senyap. Jadi benda-benda kenyataan terpilih macam itu pun malang juga bagi sekumpulan peguam profesional. Seolah-olah hak asasi hanya pada orang tertentu saja,” katanya.

Saifuddin bagaimanapun melahirkan rasa kesal apabila kumpulan peguam itu dilihat hanya memilih isu tertentu untuk dibangkitkan, tetapi mendiamkan diri apabila polis menjadi mangsa keganasan.

Menurut beliau, ketidakseimbangan dalam mempertahankan hak asasi manusia mencerminkan pendirian yang berat sebelah, sedangkan polis juga berdepan risiko keselamatan ketika bertugas.

“Polis luka, kena baling serpihan batu, senyap, sepi. Tak ada satu ulasan pun daripada kumpulan ini. Nak jadi pejuang hak asasi ini, kena jadi semua,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast